Tuesday, February 16, 2010

40 Hadith Keistimewaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 14 Februari 2010
Kata Sayyid Abbas Alawi al-Maliki, Kalau duduk di Madinah, walaupun dengan hanya memakan kekacang, makanan itu tetap terasa sungguh enak kerana jasad Nabi saw yang mulia berada di bumi ini. Nabi saw tidak sama langsung dengan manusia biasa. Allah Ta’ala memuliakan Nabi saw semenjak dari alam roh lagi bahkan ketika jasad Adam belum dimasukkan roh. Allah menabal Nabi saw sebagai Nabi ketika Adam berada dalam keadaan diantara roh dan jasad. Sedangkan Nabi-nabi lain dilantik setelah roh dimasuk ke dalam jasad. Para Nabi dan Rasul berikrar bahawa Nabi saw adalah Nabi dan Rasul bagi segala Nabi dan Rasul. Nabi Isa yang akan turun pada akhir zaman akan membawa syariat Nabi saw. Nabi saw tidak serupa dengan makhluk lain. Bondanya, Aminah as menyatakan, “Aku tidak pernah berasa bahawa aku sedang mengandungkan satu kandungan melainkan setelah aku terputus haid. Kandunganku tidak berasa berat.” Nabi saw tidak pernah menyakiti sesiapa pun hatta ketika berada dalam kandungan bondanya yang dikasihi.
Adab menyahut panggilan azan ialah dengan membaca salawat ke atas Nabi saw. Orang yang menyatakan bahawa perbuatan membaca salawat selepas azan sebagai satu perkara bidaah sebenarnya tergolong dalam kelompok orang yang telah merendahkan darjat baginda saw sedangkan Allah Ta’ala telah mengangkat darjat Nabi saw. Orang sebegini sangat rendah darjatnya dan perangainya tidak ubah seperti Yahudi dan Nasrani yang sentiasa berusaha menurunkan darjat Nabi saw. Imam Abu Nuaim dalam kitabnya yang mahsyur berjudul Dalail Nubuwwah menceritakan bahawa Jubir bin Mut’im apabila sampai di Syam pernah bertemu dengan seorang paderi. Paderi itu bertanya kepadanya, “Boleh tak kamu tunjukkan padaku yang mana satu rupa Nabi kamu?” Paderi itu membawanya ke sebuah bilik yang mengandungi banyak patung. Kata Jubir, “Tidak ada patung yang menyerupai Nabi saw disini.” Kemudian paderi itu membawanya ke bilik lain yang lebih besar dan lebih banyak patung. Terkejut Jubir apabila didapatinya didalam bilik itu ada patung yang mirip wajah baginda saw dan sahabat besar Abu Bakar ra. Kata Jubir, “Sebelum aku tunjuk patung itu kepadamu, ada lebih baik kamu menunjukkan patung itu kepadaku.” Paderi itu kemudiannya menunjukkan patung yang mirip menyerupai wajah Nabi saw dan juga patung yang mirip dengan rupa Abu Bakar. Kata paderi itu, “Inilah wajah Nabi mu dan ini pula adalah wajah sahabat yang menggantikan Nabi mu setelah baginda wafat.” Kata Syeikh, maka betullah bahawa orang Yahudi dan Nasrani ini mengenali Nabi saw seperti mereka mengenali anak-anak mereka berdasarkan isi kandungan yang terdapat dalam kitab Injil dan Taurat yang menceritakan tentang kedatangan nabi akhir zaman.
Kata Syeikh, jangan tinggalkan doa selepas azan dikumandang kerana doa ini adalah sebab untuk kita mendapat syafaat Nabi saw di akhirat kelak. Syeikh Soleh al-Ja’fari[1], seorang wali Allah dari Sudan berhajat hendak kembali ke Sudan setelah tamat tempoh mengajarnya di al-Azhar, Mesir. Pada malamnya, beliau bermimpi Sayyidah Zainab al-Kubra anak kepada Sayyiduna Ali bin Abi Talib. Dalam mimpi itu Sayyidah Zainab berkata, "Sampai hati engkau hendak meninggalkan kami di Mesir". Sejak mimpi itu, Syeikh Soleh tidak jadi meninggalkan Mesir. Karomahnya apabila isteri dan keluarganya menghadapi masalah di Sudan, Syeikh Soleh akan terpacul dihadapan rumah.
Nabi saw dijaga Allah Ta’ala. Tidak ada orang yang layak menjaga Nabi saw sebab itu Allah Ta’ala mewafatkan orang-orang terdekatnya. Allah Ta’ala memelihara dan mendidik Nabi saw. Yatimnya Nabi saw bukan bermaksud yatim dari segi ketiadaan ibubapa tetapi yatimnya Nabi saw bererti keunggulan. Nabi saw ibarat permata yang sangat bernilai. Sebab itu Allah Ta’ala menjaga Nabi saw. Nabi saw terlalu cintakan Allah Ta’ala sehingga orang Arab Jahiliyyah mengatakan baginda saw sesat. Ketika hilang rasa diri yakni fana’, Nabi saw tenggelam terhadap Allah Ta’ala. Mustaqim yang disebut dalam surah al-Fatihah dan Surah Yaasiin itu adalah jalan Muhammad (jalan yang lurus).

[1] Kata Syeikh, anaknya yang bernama Syeikh Abdul Ghani adalah syeikhul futuh kepada syeikh dimana syeikh telah menerima ilmu darinya.

1 comment:

  1. artikel yg saya x pernah baca lagi di mana2
    terima kasih

    ReplyDelete