Tuesday, February 16, 2010

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 13 Fenruari 2010
Tujuan mengajar dan menulis ilmu tafsir ialah untuk berpegang kepada tali yang kukuh. Sesiapa yang memegangnya akan mempunyai hubungan dengan Allah Ta’ala. Ini adalah kerana apabila ia mengetahui perintah dan larangan yakni hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran maka Allah Ta’ala akan memeliharanya. Ada ulama yang tidak berani mentafsir al-Quran kerana kerja-kerja mentafsir ini amatlah berisiko tinggi dan memerlukan keahlian yang sangat tinggi dalam bidang ini. Kerja-kerja pentafsiran bukan setakat memahami makna lahiriah maksunya harfiah tetapi makna yang tepat yang menggambarkan maksud sesuatu ayat itu. Sebab itu, kerja-kerja mentafsir ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang terpilih sahaja dan semua orang boleh faham tentang ilmu ini. Ilmu dunia sentiasa berkembang dan maju. Saintis pada zaman ini lebih hebat berbanding zaman dahulu. Ini berbeza dengan ilmu akhirat dimana kehebatan ulama zaman silam begitu terserlah dengan kitab-kitab mereka sentiasa menjadi rujukan ulama-ulama pada masa ini. Kata Syeikh, amat sukar ulama-ulama pada masa ini menandingi kehebatan ulama silam seperti Imam as-Suyuti, Imam al-Ghazali dan Imam asy-Syafi’i. Dalam bidang ilmu tafsir pula, ulama silam seperti Ibnu Syahid telah menulis tafsir sehingga 1000 jilid. Ahli agama pada hari ini perlu insaf atas kekerdilan diri kerana jika dibanding dengan ulama dahulu kita umpama kanak-kanak kecil sahaja. Ketahuilah bahawa setiap hari, ilmu-ilmu Islam akan merosot dan berkurangan. Ulama pada masa ini hanya menumpu pengkhususan dalam sesuatu bidang sahaja. Ini berbeza dengan ulama dahulu yang menguasai pelbagai bidang. Sayyid Ahmad Zaini Dahlan misalnya menguasai lebih 120 bidang ilmu. Sayyid Ahmad Siddiq al-Ghumari[1] menghafaz 100, 000 buah hadith. Beliau mengajar hadith di Masjid Saiyidina Husain, Mesir dengan cara imlak. Satu hadith yang diajarnya itu dikupas dengan cara mendatangkan 100 riwayat yang seumpama dengan hadith tersebut. Sebenarnya ada ulama yang menguasai pelbagai ilmu tetapi mereka ini lebih gemar beruzlah dan tidak keluar menonjolkan diri di khalayak ramai.
Kata adik kepada Sayyid Ahmad Siddiq yang bernama Sayyid Abdul Aziz Siddiq al-Ghumari, “Sesungguhnya jalan-jalan ilmu telah terputus pada zaman ini”.[2]
Pada zaman Saiyidina Ali ra menjadi khalifah, beliau pernah melawat masjid Jame’ di Basra untuk melihat perkembangan ilmu disana. Ada 100 halaqah pengajian diadakan dimasjid itu. Saiyidina Ali bertanya semua tenaga pengajar yang mengajar dalam halaqah disitu. Saiyidina Ali tidak berpuashati dengan tahap keilmuan mereka lalu dia membubarkan 99 majlis halaqah. Hanya 1 halaqah sahaja yang tidak dibubarkannya setelah mendapati tenaga pengajarnya benar-benar berkelayakan. Tenaga pengajar tersebut ialah seorang pemuda yang sangat alim yang bernama Hasan al-Basri. Saiyidina Ali ra mengiktiraf ilmu yang ada dalam diri Hasan al-Basri.[3] Pada zaman dahulu,ramai orang cuba menghindarkan diri dari mengajar dalam majlis ilmu kerana mereka sangat takut hendak mengajar. Bukannya mereka tidak berkelayakan tetapi mereka sangat berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat kerana bimbang pendapat itu boleh mengelirukan umat. Salah seorang ulama besar yang pada mulanya keberatan hendak mengajar ialah Imam Junaid al-Baghdadi. Beliau belajar dengan bapa saudaranya, Sarriy al-Saqati, ulama yang sangat alim yang tidak pernah meletakkan badannya diatas tilam selama berpuluh tahun. Imam Junaid kemudiannya telah diijazah oleh bapa saudaranya untuk mengajar tetapi Imam Junaid tetap keberatan untuk menjadi pengajar kerana merasakan dirinya tidak layak. Sehinggalah pada satu hari, beliau bermimpi berjumpa Nabi saw dan Nabi saw mengarahkannnya untuk pergi mengajar. Esoknya dia pergi berjumpa dengan bapa saudaranya dan alangkah terkejutnya dia apabila bapa saudaranya menegur sebelum sempat beliau memberitahu mimpinya. Kata bapa saudaranya, “Rupanya kamu hendak mengajar hari ini itupun setelah diperintah oleh Nabi saw”. Halaqah pengajian Imam Junaid mendapat sambutan hangat sehinggakan orang Kristian pun turut datang menadah kitab dihadapannya. Pada satu hari, datang orang Nasrani bertanya kepadanya tentang apa yang dimaksudkan dengan ayat, “Takutlah firasat orang mukmin”. Kata Imam Junaid sambil menundukkan kepala, “Islamlah engkau kerana sudah sampai masanya engkau memeluk Islam.” Terkejut orang Nasrani itu mendengar kata Imam Junaid kerana dapat membaca isi hatinya pada waktu itu.
Seperti yang disebut tadi, ada orang yang benar-benar berilmu tetapi tidak suka menonjolkan diri. Bahkan tidak ada sesiapapun yang mengetahui keistimewaan mereka. Uwais al-Qarni langsung tidak dipedulikan oleh kabilahnya tetapi keistimewaan Uwais al-Qarni telah diketahui oleh Khalifah Umar dan Ali setelah diceritakan perihal Uwais oleh Rasulullah saw sebelum baginda saw wafat. Khalifah Umar dan Ali sentiasa mencari Uwais al-Qarni sehinggalah pada satu hari, satu kabilah Yaman datang. Orang biasa tidak mengenal keistimewaan Uwais tetapi Umar dan Ali telah mengetahuinya lalu bertemu dengannya. Kepada Uwais, mereka memohon istighfar untuk mereka (padahal kedua-duanya telah pun dijanjikan syurga, begitulah tawaduknya Khalifah Umar dan Ali). Uwais kemudiannya mendoakan untuk kedua-duanya kemudiannya dia berkata, “Kamu berdua tidak pernah melihat Nabi saw”. Terkejut mereka berdua apabila Uwais berkata sedemikian sedangkan mereka adalah antara sahabat yang paling dekat dengan Nabi saw. “Bagaimana pula dengan Abu Bakar[4]?”, tanya mereka kepada Uwais. “Abu Bakar yang paling rapat dengan Nabi saw pun hanya dapat melihat bayang baginda saw sahaja”, kata Uwais. Takjub Umar dan Ali mendengar kata-kata Uwais. Selepas itu, Uwais menghilangkan diri kerana Umar dan Ali telah menzahir kemuliaannya.[5] Umar dan Ali kemudiannya pergi menemui Aisyah dan menceritakan kepada Aisyah tentang apa yang disebut oleh Uwais. Kata Aisyah, “Benar kata Uwais. Aku pun begitu juga melainkan pada satu hari, aku memasuki bilik Nabi saw tanpa meminta izin darinya. Nabi saw sedang beruzlah pada waktu itu. Sebaik aku masuk ke biliknya, aku melihat Nabi saw sedang duduk dengan keadaan cahaya baginda saw sampai ke Arasy Allah. Itulah hakikat Nabi saw yang aku tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata”.
Muaz bin Jabal ra datang menziarahi maqam Nabi saw dan menangis di maqam baginda saw apabila teringat pesanan Nabi saw yang berbunyi, “Allah suka kepada orang yang bertaqwa yang tersembunyi martabat ketaqwaannya." Orang seperti ini tidak ada sesiapa pun yang mempedulikannya. Orang sebegini cakapnya tidak diberi perhatian oleh orang lain tetapi disisi Allah Ta’ala kedudukannya adalah sebagai kekasih Allah. Nabi saw menganjurkan umatnya agar berkasih-sayang dan menggunakan kalimah-kalimah mahabbah. Pernah satu hari Nabi saw memanggil Umar dengan panggilan Ya Ukhayya bukannya akhi yang bererti saudaraku. Kata Syeikh, panggilan ukhayya itu lagi dzauq dari akhi. Ketahuilah bahawa agama Islam bukan bererti tunduk dan patuh tetapi kerana mahabbah (kasih sayang). Nabi saw mengajar umatnya agar sentiasa tawaduk. Sebagai contoh, Nabi saw pernah meminta Umar memasukkan dirinya dalam doa Umar ketika Umar meminta izin dari baginda saw untuk mengerjakan umrah. Padahal Nabi saw adalah kekasih Allah yang mencapai maqam yang tertinggi di sisi Allah Ta’ala tetapi dengan sifat tawaduk baginda saw, baginda saw tetap berhajat memohon Umar mendoakan untuk dirinya. Ulama-ulama besar sentiasa merindui Nabi saw. Imam Malik bermimpi berjumpa Nabi saw setiap malam. Imam Abbas al-Mursi menyatakan bahawa dirinya tidak pernah terhijab dari Rasulullah saw semenjak 40 tahun yang terkemudian dalam hayatnya dan jika Rasulullah saw hilang dari kotak ingatannya maka jangan mengira dirinya dikalangan orang Islam yang sempurna imannya. Kata Syeikh, orang yang rindukan kekasihnya pasti akan berjumpa dengan kekasihnya (walau dalam mimpi).

[1] Keluarga al-Ghumari yang tinggal di Maghribi sangat hebat dalam dunia Islam khususnya dalam bidang hadith. Ayahandanya mempunyai 6 anak lelaki dan 5 darinya adalah muhaddith. Sayyid Ahmad digelar sebagai as-Suyuti pada zamannya. Kata Syeikh, Allah Ta’ala telah memilih keluarga ini memahami rahsia-rahsia hadith Nabi saw.
[2] Maksudnya ilmu yang boleh dikatakan sebagai ilmu yang sebenar
[3] Hasan al-Basri dibesarkan didalam rumah Nabi saw tetapi tidak pernah bertemu baginda saw kerana baginda saw pada waktu itu telah wafat. Bondanya menjadi hamba kepada Ummu Salamah, salah seorang isteri Nabi saw. Ketika bondanya tidak ada dirumah, Ummu Salamah pernah memberikan susunya kepada Hasan al-Basri apabila dia kelaparan. Kata ulama, dengan setitik susu yang diberi oleh Hasan al-Basri maka dia menjadi ulama besar.
[4] Kata guru Syeikh yang bernama Syeikh Dr Jundah Mahdi, hubungan Nabi saw dengan Abu Bakar sangat rapat bahkan tidak ada hijab antara Abu Bakar dengan baginda saw. Abu Bakar bebas berjumpa Nabi saw pada bila-bila masa. Baginda saw pernah bersabda, Manusia yang paling amanah dengan aku, yang membenarkan aku, yang membantu aku dan yang menguruskan aku ialah Abu Bakar. Kalau aku hendak mencari kekasih yang terpahat cintanya sudah pasti aku memilih Abu Bakar tetapi hakikat cintaku adalah Allah Ta’ala.”
[5] Kata Syeikh, sebab itulah maqam Uwais ada di merata tempat kerana tidak diketahui dimana sebenarnya dia tinggal

No comments:

Post a Comment