Tuesday, February 16, 2010

Syarah Hikam Abi Madyan - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

* Catatan bebas ana di Taman TAR pada 14 Februari 2010
Kalam Hikmah
Barangsiapa menuntut bagi dirinya hal atau maqam maka dia berada jauh dari jalan-jalan mu’amalah bersama Tuhannya
Orang yang memohon kepada Allah untuk mendapat kasyaf, keramat dan sebagainya maka hakikatnya orang ini adalah jauh dari jalan Allah Ta’ala. Apa yang patut dibuat oleh orang itu sebagai hamba Allah ialah dengan menumpukan perhatian pada ketaatan terhadap Allah Ta’ala bukannya meminta hal-hal sampingan yang lain. Meminta benda-benda sampingan sedemikian adalah kerana nafsu bukannya kerana Allah Ta’ala. Jangan terpedaya dengan desakan nafsu. Konon zahirnya adalah ibadat tetapi batinnya sebenarnya penuh dengan maksiat kerana amal ibadahnya bukan kepada Allah Ta’ala. Orang yang benar-benar ‘ubudiyah tidak akan meminta sesuatu bagi dirinya kerana mereka memahami hakikat diri mereka sebagai hamba. Allah Ta’ala memberi peringatan kepada Nabi saw satu perkara sahaja iaitu berdiri bagi Allah dengan beramal, meninggalkan maksiat dan bermujahadah. Inilah intipati perhambaan seseorang kepada Allah Ta’ala. Dan inilah tugas utama Rasulullah saw iaitu melakukan sesuatu kerana Allah Ta’ala. Tidak ada habuan untuk nafsu kita sebaliknya semuanya semata kerana Allah Ta’ala. Kalau ini tidak ada dalam diri maka ubudiyah kita akan cedera. Imam Raslan al-Dimasyqi berkata, “Orang yang ditawan oleh kasyaf dan mukasyafah dan beramal untuk merebut maqam tertentu adalah terpenjara oleh kehendak nafsunya.” Apabila orang memuji kita maka binasalah diri kita. Ini adalah kerana kita memberi ‘makanan’ kepada nafsu dan akhirnya nafsu menguasai kita dan merosakkan diri kita. Imam Ato’illah berkata, “Keinginan engkau untuk mengetahui perkara keaiban tentang diri engkau dan kelemahan diri engkau adalah lebih baik dari keinginan untuk mengetahui perkara ghaib seperti kasyaf, tersingkap hijab dan sebagainya.”
Ketahuilah bahawa jamuan nafsu itu adalah puji-pujian. Semakin banyak jamuan pada nafsu semakin lemahlah kita. Musuh paling dahsyat ialah nafsu. Sabda Nabi saw, “Sebesar-besar musuh kamu ialah nafsu.” Diri kamulah yangmengajak kamu ke lembah kebinasaan. Sahabat akhirat yang menunjuk kamu ke jalan akhirat lebih baik dari diri kamu sendiri. Orang-orang soleh yang mengekang kebuasan nafsu lazimnya akan dicerca sedangkan jika dibuka tabir haqiqat, pasti umat akan berterima kasih kepada orang-orang ini kerana menunjuk jalan yang benar. Sibuk terhadap dunia tidak akan berhimpun dengan sibuk terhadap akhirat. Begitu juga urusan dengan makhluk tidak akan berhimpun dengan urusan dengan Khalik. Allah Ta’ala sengaja meletakkan dugaan untuk menguji hamba-Nya samada mengutamakan urusan makhluk atau urusan Khalik. Tanyalah pada diri sendiri apakah yang kita kejar dan cari selama hidup ini. Adakah kita condong kepada dunia atau akhirat? Condong kepada dunia adalah satu bala dan musibah, oleh itu insaflah dan kaji diri semula. Para sahabat juga berniaga tetapi mereka tidak pernah berenggang dengan Nabi saw. Kalau kita kaya tetapi jauh dari Tuhan, apakah yang kita dapat?
Kalam Hikmah
Orang yang bahagia ialah orang yang berputus asa daripada kesukaannya melainkan kesukaan dari sisi Tuhannya
Apa-apa nikmat yang ada semuanya hakikat dari Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment