Monday, February 8, 2010

Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR pada 7 Feb 2010
Bentuk tubuh badan Rasulullah saw banyak diriwayat oleh ahli keluarga Nabi saw seperti Ali bin Abi Talib dan khadamnya, Anas bin Malik. Sahabat Nabi saw sangat ramai tetapi bukan semua berada hampir dengan baginda saw dan bukan semua sahabat sentiasa berada disamping Nabi saw. Oleh itu, ahli keluarga dan khadam Nabi saw yang senantiasa berada rapat dengan Nabi saw telah meriwayat segala perbuatan, perkataan dan perihal keadaan anggota tubuh badan Nabi saw untuk disampai kepada sahabat yang lain bagi menzahirkan kecintaan mereka terhadap baginda saw.
Sifat tubuh badan Rasulullah saw
1. Tubuh badan Rasulullah saw sederhana dan sasa
2. Rambutnya tidak terlalu kerinting dan tidak terlalu lurus
3. Jasad Nabi saw adalah pertengahan bertepatan dengan maksud, “Sebaik-baik perkara adalah pertengahan”
4. Kulitnya putih kemerahan (barangsiapa mengatakan kulit baginda saw hitam maka hukumnya adalah kufur kerana menyalahi riwayat hadith yang mutawatir dan disepakati oleh para ulama. Bagi siapa yang mengatakan kulit Nabi saw hitam dengan niat hendak mencaci maka orang itu boleh dihukum bunuh).
5. Baginda saw berjalan dengan cepat – menunjukkan kegagahan dan himmah (keazaman yang sangat tinggi). Kata Syeikh, ahli hadith perlu mencontohi langkah Nabi saw ini.
6. Kata al-Bara’ ibn Azib[1], Allah swt menciptakan Nabi saw berperawakan sederhana. Bahunya bidang dan sasa.
7. Nabi saw memanjangkan rambutnya hingga ke cuping telinga. Imam Abdullah al-Haddad dan Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki pernah menyimpan rambut hingga ke cuping telinga bagi menyempurnakan maksud hadith Nabi saw.
8. Nabi saw memakai pakaian merah. Memakai baju merah bukanlah haram zaati cuma ulama memakruhkan pakaian warna ini (dan ada ulama sampai mengharamkannya) kerana warna merah itu adalah simbol atau warna kegemaran orang-orang fasiq. Oleh itu, pakailah baju merah dengan niat hendak menyempurnakan sunnah Nabi saw bukannya dengan niat hendak mengikut jalan orang-orang fasiq.
9. Nabi saw sangat tampan. Sabda Nabi saw, Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan ia paling tampan dan paling mulia nasab antara kaumnya. Keturunan Nabi saw adalah keturunan yang paling hebat. Keseluruhan jalur nasab baginda saw adalah paling mulia dizamannya sehingga ke Nabi Adam as. Bonda dan ayahanda Nabi saw adalah golongan orang-orang yang mulia. Pernah ulama hadith satu masa dahulu telah mengeluarkan kenyataan bahawa ibubapa Nabi saw adalah kufur. Maka ketika beliau wafat, wajahnya bertukar menjadi hitam. Syeikh Soleh al-Ja’fari, imam Masjid al-Azhar ditangkap ketika mempertahankan ibubapa Nabi saw. Beliau dibawa ke penjara kerana menyatakan ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan Islam ketika mengajar di Masjid Nabawi. Sewaktu lalu di hadapan maqam Nabi saw, Syeikh Soleh Ja’fari mengadu dengan katanya, Inikah kesudahanku akibat mempertahankan ibubapamu wahai Rasulullah. Syeikh Soleh kemudiannya dibebaskan tanpa masuk kedalam sel penjara. Syeikh Soleh bertanya kepada pengawal kenapa beliau dibebaskan. Lalu pengawal itu memberitahu, Majikanku bermimpi Rasulullah saw malam tadi meminta beliau membebaskan engkau kerana engkau telah mempertahankan ibubapamu. Adapun imam Masjid Nabawi yang menyatakan bahawa ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan kufur meninggal dalam keadaan jasadnya terpaksa disokong dengan konkrit. Ini adalah kerana jasadnya telah berpaling dari arah kiblat ketika dimasukkan kedalam liang lihad.
Kita perlu sedar bahawa Nabi saw bukanlah manusia biasa seperti kita. Kata ulama, sesiapa yang menyatakan Nabi saw itu manusia biasa tanpa menyandarkan kistimewaan kepada tubuh baginda saw maka ia tergolong dalam kelompok jahiliyah. Ini adalah kerana orang kafir jahiliyyah memandang Nabi saw seperti mereka memandang manusia biasa tanpa mempunyai apa-apa keistimewaan. Hati mereka terhijab dari melihat kenabian Rasulullah saw. Sedangkan orang-orang yang beriman sentiasa nampak dan menyaksikan tanda-tanda kenabian baginda saw. Kata Umar al-Khattab, aku masuk Islam setelah Nabi saw memandangku dua kali. Pandangannya yang pertama telah mengeluarkan aku dari kekufuran manakala pandangannya yang kedua telah mengisikan iman didalam benak hatiku. Bahkan para wali juga dihijab dengan pakaian kemanusiaan. Kata ulama, kalau diangkatlah hijab tersebut sehingga menampakkan nur cahaya para wali nescaya semua orang akan menyembah wali itu bukannya tuhan. Sahabat adalah orang yang paling kenal dan arif tentang Nabi saw maka dengan sebab itu mereka sangat memuliakan Nabi saw. Adakah kita betul-betul sayang Nabi saw? Lemahnya umat Islam pada hari ini ialah kerana mereka tidak cinta kepada Nabi saw dengan sebenar-benar cinta. Kekuatan umat Islam terdahulu adalah kerana cinta dan rindu yang sangat mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya. Khalid al-Walid melaungkan slogan “Wahai Muhammad, Wahai Muhammad, Wahai Muhammad” ketika berperang menentang pemuka Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Laungan itu telah mendatangkan kekuatan luarbiasa kepada tentera Islam sehingga musuh melihat mereka seperti singa-singa yang menerkam dalam keadaan lapar.


[1] Sahabat kecil Nabi saw. Beliau lahir sama tahun dengan Abdullah bin Umar. Beliau pernah ikut Nabi saw berperang dalam Perang Ahzab. Beliau wafat pada tahun 72 H.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment