Tuesday, February 2, 2010

Tafsir Surah Yaasiin - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada 31 Januari 2010
Bab Keperluan kepada tafsir
Abu Zar al-Harawi ra meriwayatkan kelebihan al-Quran daripada Sa’id ibn Jubir ra daripada Ibnu Abbas ra, beliau mengatakan,
Orang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui pentafsirannya samalah dengan orang Arab yang tidak mengetahui syair
Sa’id ibn Jubir ra adalah murid kepada Abdullah ibn Abbas. Ramai anak murid Abdullah ibn Abbas menjadi ahli tafsir yang hebat-hebat (Abdullah ibn Abbas menjadi ahli tafsir terulung berkat doa Nabi saw keatasnya). Bagi orang Arab, tidak reti membaca syair atau tidak tahu bersyair adalah merupakan satu keaiban bagi mereka.
Mengetahui makna setiap lafaz al-Quran itu adalah sangat penting. Bahkan amat digalakkan mencari orang-orang yang saleh untuk menyembahyangkan jenazah supaya jenazah itu didoakan oleh mereka yang benar-benar mengetahui makna doa yang hendak dihadiahkan kepada si mati. Selain itu, kita juga disunatkan menyaksikan keadaan jenazah dan mendoakan jenazah atas segala kebaikan (apatah lagi jika jenazahnya dizahirkan kebaikannya)
Imam al-Baihaqi ra dan lain-lainnya meriwayatkan hadith marfu’[1] daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata,
I’rablah (tafsirlah) al-Quran dan perhatikan lafaz-lafaznya yang ganjil.
Ibnu al-Anbari ra meriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq ra, beliau berkata,
Mengi’rab satu ayat daripada al-quran lebih saya sukai daripada menghaal satu ayat daripadanya.
Ibnu al-Anbari ra mengetengahkan satu riwayat daripada Abdullah ibn Buraidah ra daripada salah seorang sahabat Nabi saw berkata,
Seandainya aku tahu, apabila aku telah bermusafir selama 40 malam barulah aku boleh meng’irab satu ayat dari al-Quran nescaya aku akan lakukannya.
Imam Syafi’i ra berkelana ke kampung orang-orang Arab Badwi untuk menimba kefahaman bahasa Arab yang asli. Hanya kampung orang Arab Badwi sahaja yang memahami dan menggunakan Bahasa Arab yang asli. Itulah sebabnya orang-orang Arab dibesarkan di kampung orang Arab Badwi. Tujuannya ialah untuk mempelajari Bahasa Arab yang asli. Keadaan ini samalah seperti Nabi saw ketika kecil dimana baginda saw disusu oleh wanita Bani Sa’ad dan dibesarkan di kampung itu. Kata Syeikh, ramai orang Mesir sendiri tidak boleh berbahasa Arab dengan bahasa Arab yang fasih. Satu-satunya kampung yang menggunakan bahasa Arab Quraisy di Mesir ialah Mahallah Abil Hayatim. Kampung ini merupakan tempat kelahiran ulama besar iaitu Ibn Hajar al-Haithami yang merupakan pengarang kitab Tuhfah. Selain kampung itu, ada satu lagi kampung yang berdekatan dengan Manufiyah yang mempunyai penduduk seramai 7000 orang dimana kesemuanya merupakan huffaz belaka.
Jika pendapat Imam Syafi’i bertembung dengan pendapat Imam Abu Hanifah dalam bab berkaitan dengan tafsir al-Quran, maka pendapat Imam Syafi’i lebih banyak dipakai ulama kerana beliau lebih memahami bahasa Arab dan mempelajari bahasa Aab asli yang mirip seperti bahasa al-Quran yang diturunkan. I’rab bukan setakat memahami struktur ayat kerana itu adalah zahirnya sahaja sedangkan i’rab yang sebenarnya ialah menghurai makna al-Quran itu sendiri. Para sahabat sangat mementingkan keperluan memahami ayat-ayat al-Quran. Satu kerugian kepada kita jika kita tidak faham kandungan al-Quran maka atas sebab itu kita hendaklah berusaha menghadirkan majlis-majlis ilmu dan berguru dalam bab ini. Pentingnya majlis ilmu seumpama ini sehingga wali Allah seperti Syeikh Soleh al-Jafari pernah merayu kepada orang ramai agar menghadiri majlis ilmu yang diadakannya.
Ibnu al-Anbari juga meriwayatkan daripada al-Sya’bi beliau menceritakan bahawa Umar ra pernah berkata,
Sesiapa yang membaca al-Quran lalu mengi’rabnya, baginya disisi Allah pahala mati syahid.
Al-Sya’bi merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah. Sebelum bertemu al-Sya’bi, Imam Abu Hanifah tidak suka belajar walaupun beliau seorang yang sangat cerdik. Pada satu hari ketika beliau berjalan ke pasar, beliau bertemu dengan al-Sya’bi yang sedang mengajar di hadapan murid-muridnya. Al-Sya’bi berkata kepada Imam Abu Hanifah, Siapa ulama yang engkau pernah temui? Al-Sya’bi kemudiannya menyuruh Imam Abu Hanifah pergi duduk dengan ulama sebab menurutnya Imam Abu Hanifah berpotensi menjadi ulama besar. Pada satu malam, Imam Abu Hanifah bermimpi menggali maqam Nabi saw dan menyusun tulang-tulang Nabi saw. Beliau terjaga dari mimpinya dan kemudian duduk termenung. Beliau risau memikirkan mimpinya kerana beranggapan ia adalah mimpi yang buruk. Sehinggalah pada satu hari beliau didatangi oleh anak murid Ibnu Sirin[2] (tokoh yang sangat mahir dengan ilmu tafsir mimpi). Lalu anak murid Ibnu Sirin itu pun bertanya kepada Imam Abu Hanifah kenapa beliau bermenung sedemikian. Imam Abu Hanifah menceritakan perihal mimpinya. Anak murid Ibnu Sirin berkata, Sesungguhnya itu bukanlah petanda buruk sebaliknya engkau akan menjadi orang penting yang akan menyusun semula hadith-hadith Nabi saw. Semenjak dari itu, Imam Abu hanifah sentiasa melazimkan diri dalam majlis ilmu. Beliau pernah berguru dengan 4000 orang masyaikh. Beliaulah yang telah meriwayatkan hadith yang berbunyi, “Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap orang Islam” dengan hanya satu perantaraan sahaja untuk menyampaikan dirinya kepada Rasulullah saw iaitu menerusi Anas bin Malik.
Sebelum menutup majlis, sekali lagi Syeikh menekankan kepentingan berguru. Kata Syeikh, sebesar-besar musibah adalah menjadikan kitab sebagai syeikh. Ilmu disisinya seolah tiada yang kemudiannya mengheret si pembaca itu ke lubuk kesesatan. Asal kesesatan ialah apabila mereka bersandar kepada kitab tanpa faham huraian kitab (hanya membacanya sahaja tanpa menghadiri majlis ilmu). Selanjutnya kata syeikh, Jangan ambil ilmu dari orang yang lututnya tidak pernah berlaga dengan lutut para ulama. Sedangkan Nabi saw berlaga lututnya yang mulia dengan lutut Jibril as ketika menghuraikan makna Islam, Iman dan Ihsan.
[1] Marfu’ bererti hadith yang disandar terus kepada Nabi saw. Selain dari marfu’ ialah mauquf dan mursal. Mauquf adalah hadith yang disandarkan kepada sahabat bukannya terus kepada Nabi saw. Sesuatu hadith disebut mauquf apabila si periwayat tidak menyatakan kalimah “Aku mendengar dari Nabi saw”. Mursal bererti hilang dua perawi iaitu sahabat dan Nabi saw dimana hadith tersebut disandarkan terus kepada tabi’in. Hadith mursal yang sanadnya terputus ditolak oleh Imam Syafi’i kecuali hadith yang diriwayat oleh Said bin Musayyib (nama asal bapanya ialah Musayyab). Imam Syafi’i mengenali peribadi Said bin Musayyib maka dengan sebab itu beliau langsung tidak meragui hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyib. Said bin Musayyib adalah seorang ahli ibadah yang pintar dan hebat. Menurut khadamnya, Said bin Musayyib akan sentiasa berada di saf hadapan setiap kali azan dikumandangkan. Said bin Musayyib adalah penghulu tabi’in di Madinah dan beliau sezaman dengan Sa’id bin Jubir.
[2] Anak murid kepada Anas bin Malik

No comments:

Post a Comment