Monday, March 22, 2010

Kitab Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 21 Mac 2010
Bentuk tubuh Nabi saw seperti yang diriwayatkan oleh Ali ibn Abi Talib, al-Hasan ibn Ali dan Jabir ibn Samurah dapatlah dirumuskan seperti berikut,
1. Tubuh Nabi saw adalah sederhana besarnya
2. Dada dan perut Nabi saw adalah sejajar
3. Kata Syeikh, setiap binatang yang menjadi tunggangan Nabi saw tidak berubah jasadnya dari segi fizikalnya yang sentiasa kelihatan muda dan tidak pernah sakit berkat ditunggang oleh Nabi saw. Ibu susuan Nabi saw iaitu Halimah ketika hendak datang mengambil Nabi saw untuk disusuinya ketika Nabi saw masih bayi bergerak dengan sangat perlahan kerana binatang tunggangannya lembap pergerakannya. Setelah Nabi saw menaiki tunggangan itu, dengan serta-merta binatang tunggangan Halimah menadi cergas malah rombongan Halimah terpaksa pula mengearnya dari belakang. Kambing-kambing di kampung Halimah menadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak berkat kehadiran Nabi saw di kampung itu.
4. Tubuh Nabi saw tidak gemuk. Amalan Nabi saw ialah makan sehari dan lapar sehari (diulang secara selang-seli) dengan tujuan untuk menyempurnakan maqam sabar dan syukur iaitu sabar bila berlapar dan bersyukur bila menikmati hidangan. Nabi saw hanya makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
5. Kulit Nabi saw adalah putih kemerahan dan ini disepakati oleh para ulama secara mutawatir. Barangsiapa menyatakan bahawa kulit Nabi saw adalah hitam maka hukumnya adalah kufur.
6. Mata Nabi saw hitam pekat dan inilah secantik-cantik mata. Anehnya orang sekarang berlumba-lumba hendak mencantikkan mata dengan warna lain seperti biru atau hijau.
7. Bahu Nabi saw bidang menandakan bahawa tubuh Nabi saw sangat gagah perkasa.
8. Apabila baginda saw berpaling, seluruh badannya ikut berpaling. Ini adalah tanda betapa Nabi saw sangat tawaduk apabila bercakap dengan seseorang. Kata syeikh, orang yang tidak memandang muka orang yang bercakap dengannya adalah tanda orang-orang yang takabbur. Apabila kita bercakap dengan seseorang hendaklah kita memandang muka orang itu. Hikmahnya supaya orang itu berasa dihargai walaupun apa yang dicakapnya itu mungkin tidak seberapa. Ketahuilah bahawa bahasa badan (body language) lebih berkesan dari bahasa lisan (lidah) kerana dari situ seseorang akan tahu samada ia disukai atau tidak oleh orang lain. Takabbur tidak dapat disembunyikan samada menerusi percakapan atau pergaulan/perbuatan. Orang yang bersifat takabbur akan dizahirkan menerusi kedua-duanya. Kata ulama, Sesungguhnya kalam/ucapan/lafaz yang keluar dari mulut seseorang pada hakikatnya adalah berdasarkan dari hati. Ini termasuklah lisan lidah atau lisan perbuatan. Ramai orang boleh menarik perhatian orang lain dengan menggunakan lisan lidah. Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya bayan (penerangan menerusi lidah) boleh mensihir orang yang mendengar”. Maksudnya disini ialah betapa percakapan seseorang itu yang mahir berkata-kata boleh memukau atau mempersona orang-orang yang mendengar. Pada hari ini, lisan lebih banyak tertumpu kepada kepetahan berkata-kata yang tidak bersandarkan kepada kebenaran ilmu. Kata syeikh, lisan perbuatan adalah lisan yang sangat sukar hendak dilaksanakan. Lisan perbuatan bererti sesuatu perbuatan itu boleh berkata-kata. Sebagai contoh perbuatan yang boleh diterjemah dalam bentuk dakwah untuk menarik perhatian orang ramai. Lisan perbuatan Nabi saw telah berjaya menarik ramai orang kafir Quraisy memeluk agama Islam. Contoh lisan perbuatan Nabi saw ialah baginda saw meringkaskan khutbah Jumaat tetapi memanjangkan solat Jumaatnya. Sabda Nabi saw, “Tanda ketidak-faqihan (ketidak-aliman) seseorang itu ialah apabila khutbahnya panjang dan solatnya pendek”.
9. Nabi saw mempunyai khatam nubuwwah yang terletak diantara belikat Nabi saw tetapi condong disebelah kiri. Seluruh Nabi dan Rasul Allah mempunyai cop mohor masing-masing yang letaknya diatas tangan kanan mereka. Hanya baginda saw mempunyai cop mohor yang terletak diantara belikat baginda saw.
10. Nabi saw mempunyai hati yang paling pemurah. Nabi saw mengambil berat masalah umatnya dan semua orang mendapat pembelaan Nabi saw. Berbeza dengan keadaan masyarakat pada zaman ini yang mementingkan diri sendiri, tidak ada perasaan belas dan kasih pada orang lain dan tidak mahu mengambil tahu hal-ehwal umat Islam dan ini merupakan satu musibah besar kepada umat Islam. Sabda Nabi saw, “Sesiapa yang tidak prihatin perihal umat Islam maka ia bukan di kalangan kami”. Kata syeikh, jangan ambil remeh tentang frasa “bukan di kalangan kami" seperti yang disebut dalam hadith tersebut kerana kesannya cukup dahsyat. Umat Islam seharusnya berasa amat bimbang jika kelak tidak dapat berhimpun dengan baginda saw di Hari Akhirat sedangkan semua Nabi dan Rasul berada di bawah panji baginda saw. Kata syeikh, ada orang yang taat beribadah dan melazimkan diri dengan mengerjakan umrah tetapi tidak mahu mengambil tahu hal umat Islam. Jika ada ulama bersifat seperti ini maka binasalah umat Nabi saw. Umat akan jadi jahil jika ulama bersikap mementingkan diri sendiri. Sebab itulah ulama kena fikir masalah umat. Lazimkanlah diri dengan sentiasa mengambil berat hal umat Islam terutamanya dalam urusan yang bersangkutan dengan hidup berjiran, menziarahi orang sakit dan mengambil bahagian dalam menyembahyangkan jenazah.
11. Nabi saw tidak pernah bercakap bohong dan pandangan Nabi saw semuanya benar belaka kerana Nabi saw adalah maksum. Nabi saw tidak pernah bercakap bohong kerana sifat Nabi adalah as-Siddiq.
12. Perangai Nabi saw tidak sombong bahkan senang digauli.

1 comment:

  1. assalamu'alaikum.. teruskan perkongsian anda.. Dapat membantu mereka yang dah merantau berkongsi pengajian yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki.. Syukran jazilan di atas perkongsian..

    ReplyDelete