Wednesday, December 16, 2009

Sairus Salikin Bab Rahsia Haji - Disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam


*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 13 Disember 2009. Doa yang dinyatakan dalam syarahan ini boleh dijadikan amalan harian


Fasal menyatakan segala perjalanan daripada permulaan keluar daripada rumahnya hingga berihram
Doa dibawah ini elok dibaca untuk berlindung dari kejahatan, binatang buas dan sebagainya ketika berada didalam perjalanan.

Wahai Tuhanku! Tuhan tujuh petala langit dan barang yang didalamnya dan Tuhan tujuh petala bumi dan barang yang didalamnya, dan Tuhan segala syaitan dan barang yang disesatkannya, dan Tuhan segala angin dan barang yang diterbangkannya dan Tuhan segala laut dan barang yang diperlakukannya. Aku memohonkan akan Engkau akan kebajikan tempat turun ini dan kebajikan penghuninya, dan aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan tempat turun ini dan daripada kejahatan segala isinya dan daripada kejahatan barang yang didalamnya. Maka jauhkan oleh-Mu daripadaku akan kejahatan segala mereka itu.
Apabila sampai disuatu tempat eloklah sembahyang sunat manzil dua rakaat dan baca doa berikut,




Aku meminta peliharakan dengan beberapa kalimat Allah yang sempurna yang tiada melampaui akan dia oleh orang yang baik dan orang yang jahat daripada segala kejahatan yang dijadikan Allah Ta’ala.
Disebelah malamnya pula eloklah dibaca doa berikut,


Hai bumi! Tuhanku dan Tuhanmu itu Allah. Aku meminta peliharakan dengan Allah Ta’ala daripada kejahatanmu dan kejahatan barang yang didalammu dan daripada kejahatan barang yang melata diatasmu. Aku meminta peliharakan dengan Allah Ta’ala dari segala kejahatan harimau dan ular besar dan ular yang kecil dan kala jengking dan daripada kejahatan yang di dalam negeri dan daripada kejahatan yang beranak dan barang yang diperanakkannya. Dan bagi Allah Ta’ala barang yang diam didalam malam dan siang itu dan Allah Ta’ala itu Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui.
Kenapa kita disuruh berbicara dengan bumi dan tanah? Tujuannya ialah untuk memberi ingatan bahawa bumi dan tanah juga adalah makhluk/hamba Allah.
Takdir berhenti waktu siang, janganlah kita berjalan banyak di siang hai. Apatah lagi waktu malam. Jangan terpisah dari kafilah. Jika hendak bersiar-siar, perlulah dimaklumkan kepada amir kafilah. Jika tudur pun, bergilir-gilirlah. Kalau terganggu didalam perjalanan, hendaklah dibaca ayatul Kursi, Syahidallah hingga akhir ayat (surah Ali Imran ayat 18) dan tiga Qul. Selepas itu, bacalah doa berikut,


Aku meminta peliharakan dengan nama Allah. Barang yang dikehendaki Allah Ta’ala itu nescaya jadi. Dan tiada kuat dan tiada kuasa melainkan dengan Allah Ta’ala. Telah memadalah Allah Ta’ala akan daku. Aku bertawakkal atas Allah Ta’ala. Barang yang dikehendaki Allah Ta’ala itu nescaya jadi. Dan tiada mendatangkan dengan kebajikan itu melainkan Allah Ta’ala. Dan barang yang dikehendaki Allah Ta’ala itu nescaya jadi. Dan tiada yang memalingkan dan tiada yang menjauhkan kejahatan melainkan Allah Ta’ala. Dan memadalah Allah Ta’ala itu akan daku dan menanggung Ia akan daku. Dan mendengar Allah Ta’ala bagi orang yang berdoa akan dia. Dan tiada selain dari pada Allah Ta’ala itu tempat kehinggaan hajat dan ibadat dan ma’rifat dan tiada yang lain daripada Allah Ta’ala itu tempat persandaran dan menyerahkan diri. “Dan telah menyuratkan Allah didalam firman-Nya, sesungguhnya Akulah dan rasul-Ku-lah yang ghalib yakni menang. Sesungguhnya Allah Ta’ala yang kuat lagi mulia.” Dan aku meminta peliharakan dengan Allah Ta’ala yang Maha Besar. Dan aku meminta tolong dengan Tuhan yang hidup yang berdiri pada memeliharakan segala alam dan mendirikan Ia akan dia pada segala perbuatannya dan Allah Ta’ala itu yang hidup yang tiada mati. Wahai Tuhanku! Peliharakan oleh-Mu akan kami dengan penglihatan-Mu yang tiada tidur dan peliharakan oleh-Mu akan kami dengan pendengaran-Mu yang kekal yang sentiasa tiada putus. Wahai Tuhanku! Beri oleh-Mu rahmat akan kami dengan kuasa-Mu ke atas kami dan jangan Engkau binasakan akan kami padahal Engkau tempat kami percaya dan tempat kami mengharapkan. Hai Tuhanku! Beri oleh-Mu atas kami kasih-sayang didalam hati segala hamba-Mu yang laki-laki dan didalam hati segala hamba-Mu yang perempuan dengan kasih sayang dan rahmat daripada-Mu kerana engkau yang terlebih kasih dari orang yang kasih sayang.
Apabila berjalan ditempat tinggi maka sunat ia mengucapkan takbir tiga kali kemudian dibacanya;


Wahai Tuhanku! Bagi-Mu kemuliaan atas tiap-tiap yang mulia dan bagi-Mu pujian atas tiap-tiap kelakuan.
Dan apabila ia turun ia daripada tempat yang tinggi maka sunat ia mengucapkan tasbih.
Dan apabila hasil didalam hatinya takut akan sesuatu didalam perjalanannya itu maka sunat dibacanya,


Maha Suci Tuhan yang mempunyai kerajaan lagi yang maha suci iaitu Tuhan segala malaikat dan Tuhan segala roh padahal Engkau beri kebesaran akan tujuh petala langit itu dengan kemuliaan-Mu dan dengan sifat jabaruut iaitu sifat qahhar dan gagah yakni dengan kebesaran-Mu.
Antara adab ihram daripada miqat hingga masuk ke Makkah ialah
1. Menyempurnakan sunat-sunat bersuci seperti yang disebut dalam sunat Hari Jumaat
2. Memakai kain seperpinggangan iaitu sekadar menutup aurat bagi laki-laki. Pakaian yang diharamkan ialah pakaian yang mengurung badan (disebabkan jahitan). Bagi orang yang telah berniat ihram, maka wajiblah ia menjaga pantang-larang walaupun kenderaan yang membawanya berpatah balik ke tempat halamannya disebabkan menghadapi masalah dan sebagainya.
3. Sunat menyertakan talbiah. Dalam haji dan umrah, hanya ada dua rukun sahaja yang perlu dipatuhi iaitu rukun qalbi dan rukun fi’li. Ini berbeza didalam solat yang mempunyai 3 rukun iaitu rukun qalbi, fi’li dan qauli. Rukun qalbi ialah niat, rukun fi’li ialah perbuatan manakala rukun qauli ialah bacaan khusus. Tidak ada bacaan khusus ketika mengerjakan haji dan umrah. Sebab itu, ketika mengerjakan tawaf, menjaga bahu iaitu memastikan Kaabah sentiasa berada disebelah kiri bahu itu hukumnya wajib sedangkan membaca doa hanyalah sunat sahaja. Orang yang mengerjakan haji dan umrah boleh membaca apa-apa sahaja zikir ataupun doa.
Dalam kitab Irsyadul Ibad, ada diceritakan bagaimana seorang pemuda yang kematian ayahnya setelah selesai mengerjakan haji dalam perjalanan pulang kerumahnya. Apabila si ayah meninggal dunia, mukanya berubah menjadi anjing. Lalu si anak ini menutup muka ayahnya dan dalam keletihan itu, beliau tertidur. Dalam tidurnya, beliau bermimpi Rasulullah saw datang menziarahi mereka dan membuka tutup muka ayahnya kemudian menutupnya kembali. Apabila terjaga, dia pun membuka tutup muka ayahnya dan dilihatnya muka ayahnya telah berubah menjadi sediakala semula dan bersinar-sinar. Si anak kembali tertidur dan bermimpi sekali lagi bertemu Rasulullah saw. Rasulullah saw memberitahunya bahawa wajah ayahnya berubah menjadi anjing disebabkan maksiat dan dosa yang dikerjakannya. Adapun wajahnya kembali bercahaya kerana beliau banyak bersalawat. Memang ketika dalam mengerjakan haji tadi, si ayah tidak berhenti-henti membaca salawat sejak dari awal ihram hingga selesai mengerjakan haji.
4. Apabila selesai bacalah doa yang maksudnya seperti berikut,
Wahai Tuhanku! Aku berkehendak mengerjakan haji maka mudahkan oleh-Mu akan dia bagiku dan tolong oleh-Mu akan daku atas menunaikan fardunya itu dan terima oleh-Mu akan haji itu daripadaku. Wahai Tuhanku! Bahawa aku sengaja mengerjakan fardu-Mu didalam haji maka jadikan oleh-Mu akan daku daripada mereka yang memperkenankan bagi seru-Mu dan percaya mereka itu dengan janji-Mu dan mengikut mereka itu akan suruh-Mu. Dan jadikan oleh-Mu akan daku daripada orang yang ziarah kepada-Mu yang Engkau redha akan mereka itu dan Engkau tuntut redha akan dia dan Engkau terima akan dia. Wahai Tuhanku! Mudahkan oleh-Mu bagiku akan yang aku niatkan aan dia daripada mengerjakan haji. Wahai Tuhanku! Telah berihram bagi-Mu segala dagingku dan rambutku dan darahku dan kulitku dan otakku dan tulangku dan aku haramkan atas diriku akan perempuan dan bau-bauan dan memakai pakaian yang meliputi kerana berkehendak menghampirkan diri kepada-Mu dan kepada negeri akhirat.
5. Sunat memperbanyakkan talbiah selama ia berihram haji atau umrah. Bagi orang yang mengerjakan umrah, talbiahnya sampai waktu tawaf. Bagi orang yang mengerjakan haji, talbiahnya sampai waktu melonjar di jamratul aqabah. Bila mula melontar tak perlu talbiah sebaliknya ganti dengan takbir.
Tentang masalah berhimpunnya dua solat jemaah dalam satu hari seperti solat hari raya dan solat Jumaat dalam hari yang sama maka mengikut mazhab Syafi’I, kedua-dua solat tersebut wajib dikerjakan. Sementara dalam mazhab Hanafi, solat rayanya adalah wajib manakala solat Jumaat boleh diganti menjadi waktu Zohor untuk tujuan musafir sahaja.
Antara lain hikmah menziarahi Makkah dan Madinah ialah di Makkah, kita mempertebalkan iman kita (menguatkan tauhid) manakala di Madinah, kita memupuk kecintaan kita kepada Rasulullah saw.
Fasal pada menyatakan adab masuk ke dalam Makkah hingga tawaf
Apabila hendak masuk ke Makkah maka sunat ia mandi di telaga Zu Thuwa. Telaga ini letaknya kira-kira 3km dari Masjidil Haram. Telaga ini merupakan tempat persinggahan Nabi saw sebelum meneruskan perjalanan ke Masjidil Haram. Sunat masuk Makkah daripada jalan yang bernama Tsaniyatul Kada iaitu jalan yang dekat Ma’la dan sunat keluar daripada jalan yang bernama Tsaniyatul Kuda iaitu jalan yang dekat dengan Kubah Syeikh Mahmud (jalan yang melalui kawasan Misfalah). Sunat memasuki pintu Bani Syaibah yang kini dikenali dengan nama Babussalam. Setiap pintu dan lokasi di Masjidil Haram mempunyai kedudukan/adhal yang berbeza. Pintu Babussalam adalah yang paling afdhal kerana dengan memasukinya, seseorang akan dapat melihat telaga zam-zam, maqam Ibrahim, pintu Kaabah, multazam dan Hijr Ismail yang merupakan tempat-tempat musjatab doa. Tawaf di Shazruwan tidak sah. Shazruwan ialah kaki lima Kaabah. Kita mesti tawaf diluar Kaabah. Multazam ialah tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Dua perkara yang perlu diminta ketika berdoa ialah takut pada seksa Allah dan harap pada rahmat Allah. Kata Syeikh Yasin Isa al-Fadani, aku berdoa disitu dan doaku maqbul.
Pada zaman Rasulullah saw, Rasulullah saw dan para sahabat sentiasa diperhatikan penduduk Makkah ketika mereka mengerjakan haji dan umrah. Ramai orang Muhajirin apabila berhijrah ke Madinah menghidap sakit-sakit kerana tidak biasa dengan cuaca Madinah. Maka atas sebab itu, apabila Rasulullah saw dan para sahabat datang ke Makkah, mereka akan berlari-lari anak ketika mengerjakan tawaf dan saie. Tujuannya ialah untuk membuktikan kepada penduduk Makkah bahawa mereka tidaklah lemah atau sakit seperti yang disangka oleh penduduk Makkah. Tawaf atas masjid hukumnya sah kerana masih didalam kawasan masjid.
Doa yang perlu dibaca apabila sampai pada Rukun Yamani (sunat disapu dengan tangan kanan maka dikucup akan tangan itu)


Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku meminta peliharakan dengan Dikau daripada papa dan aku minta peliharakan dengan Dikau daripada seksa kubur dan daripada fitnah pada ketika hidup dan daripada fitnah ketika mati. Dan aku meminta peliharakan dengan Dikau daripada kebinasaan didalam dunia dan didalam akhirat.
Dan baca olehmu pada antara dua rukun Yamani dan Hajarul Aswad itu,


Wahai Tuhanku! Datangkan oleh-Mu akan kami didalam dunia kebajikan dan didalam akhirat kebajikan dan peliharakan oleh-Mu akan kami dengan rahmat-Mu akan fitnah kubur dan seksa api neraka.

Doa yang sunat dibaca setelah selesai solat sunat tawaf,


Wahai Tuhan! Mudahkan oleh-Mu bagiku segala yang mudah dan jauhkan oleh-Mu akan daku dari segala yang susah dan ampuni oleh-Mu bagiku didalam akhirat dan didalam dunia. Wahai Tuhanku peliharakan oleh-Mu akan daku dengan anugerah-Mu sehingga tiada aku berbuat maksiat akan Dikau dan tolongi oleh-Mu akan daku atas berbuat taat akan Dikau dengan taufik-Mu dan jauhkan oleh-Mu akan daku daripada maksiat akan Dikau dan jadikan oleh-Mu akan daku daripada seorang yang kasih akan Dikau dan kasih akan segala malaikat-Mu dan kasih akan pesuruh-Mu dan kasih akan hamba-Mu yang soleh-soleh. Wahai Tuhanku! Jadikan oleh-Mu akan daku kasih kepada segala pesuruh-Mu dan kasih kepada hamba-Mu yang soleh-soleh. Wahai Tuhanku! Maka seperti telah Engkau beri akan daku hidayah bagi masuk didalam agama Islam maka tetapkan oleh-Mu akan aku atas agama Islam dengan anugerah-Mu dan dengan wilayah-Mu yakni pertolongan-Mu dan dengan petunjuk-Mu atasnya. Dan jadikan oleh-Mu akan daku daripada amal dengan taat akan Dikau dan akan pesuruh-Mu dan peliharakan oleh-Mu akan daku daripada fitnah yang menyesatkan.

Doa yang perlu dibaca ketika hendak memulakan saie (dengan menghadap kiblat)


Allah Yang Maha Besar. Segala puji tertentu bagi Allah atas barang yang memberi petunjuk Ia akan kami. Segala puji tertentu bagi Allah. Aku memuji akan Allah Ta’ala dengan sekalian puji atas segala nikmatnya. Dan tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah yang Esa yang tiada sekutu baginya. Baginya kerajaan dan baginya segala puji. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan dan yang menjadikan Ia dengan tangan kudrat-Nya akan segala kebajikan. Dan Dia yang kuasa atas berbuat segala suatu. Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya hanya Allah Ta’ala yang Esa yang membenar janji-Nya dan yang menolong hamba-Nya, dan yang muliakan Ia akan segala tentera-Nya yang muslim, yang memecahkan Ia akan segala perhimpunan kaum yang kafir dengan sendiri-Nya. Tiada Tuhan selain Allah yang semata-mata baginya agama Islam dan jikalau benci akan dia oleh segala kafir sekalipun. Tiada Tuhan melainkan Allah Ta’ala. Semata-mata baginya agama Islam. Segala puji bagi Allah Ta’ala Tuhan Sekalian Alam maka baginya segala tasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi-pagi dan baginya tahmid yakni pujian didalam tujuh petala langit dan didalam tujuh petala bumi dan pada waktu petang dan pada waktu pagi. Allah Taala iaitu Tuhan yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan sesuatu yang mati daripada yang hidup dan yang menghidupkan akan bumi kemudian daripada matinya. Dan seperti yang demikian itu dikeluarkan sekalian kamu. Dan setengah daripada tanda-Nya itu bahawa menjadikan Ia akan kamu daripada bumi kemudian tiba-tiba jadi kamu manusia yang bercerai-berai. Wahai Tuhanku! Aku memohon akan Dikau akan iman yang sentiasa kekal dan aku pohonkan akan Dikau akan yakin yang benar dan ilmu yang memberi manfaat dan hati yang khusyuk dan lidah yang berzikir dan aku pohonkan akan Dikau akan maaf dan ‘afiat dan maaf yang berkekalan didalam agama dan didalam dunia dan didalam akhirat dan rahmat Allah Ta’ala dan salamnya atas penghulu kita Nabi Muhammad saw dan atas keluarganya dan sahabatnya.
Doa yang perlu dibaca ketika berjalan turun ke Marwah sewaktu saie


Wahai Tuhanku! Ampuni oleh-Mu akan daku dan beri oleh-Mu akan daku rahmat dan maafkan oleh-Mu daripada dosa yang Engkau ketahui kerana Engkaulah yang terlebih mulia dan yang terlebih murah. Wahai Tuhanku! Beri oleh-Mu akan kami di alam dunia akan kebajikan dan didalam akhirat akan kebajikan dan peliharalah kami daripada seksa api neraka

No comments:

Post a Comment