*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 20 Disember 2009
Adapun tajuk perbahasan ilmu tasawwuf ialah membezakan khalik dengan makhluk. Tujuannya ialah supaya kita tidak mensifatkan Allah Ta’ala dengan makhluk dan sebaliknya. Hati juga hendaklah fana’ yakni dihilangkan dari benak hati selain sesuatu melainkan Allah Ta’ala. Tidak ada kecintaan selain Allah Ta’ala. Jika kita mencintai makhluk, itupun adalah kerana Allah Ta’ala. Kita kasih kepada ibubapa dan ahli keluarga kerana Allah Ta’ala menyuruh kita kasihkan mereka. Hakikatnya, cinta itu adalah milik Allah Ta’ala. Adapun kita hari ini mencintai sesuatu kerana nafsu. Kita cinta kepada ibubapa kerana hormat dan mengenang jasa mereka. Maka perbuatan kita ini tidak ada bezanya dengan orang bukan Islam yang juga mengasihi ibubapa mereka atas sebab mengenang jasa mereka. Begitu juga dengan kasih terhadap isteri. Kebiasaannya, si suami kasih pada isteri tidak lebih dari kerana nafsu. Maka atas sebab itu, apabila isteri sudah tua, tidak cantik dan sebagainya maka si suami bertindak kasar, menghalau isteri atau lebih buruk lagi menceraikan isteri. Inilah yang akan terjadi apabila kasihnya seseorang itu bukan kerana Allah Ta’ala.
Kita perlu melihat dengan mata hati. Allah Ta’ala berfirman, Kamu melihat mereka memandang kamu wahai Muhammad (saw) tetapi pada hakikatnya mereka tidak melihat. Mata orang kafir seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain melihat Nabi saw sama seperti mata orang Islam melihat Nabi saw. Bezanya adalah dari segi mata hati dimana orang Islam seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali melihat Nabi saw dengan penuh kebesaran, keagungan dan kemuliaan. Mata hati seperti ini tidak ada pada orang-orang kafir, lantaran itu mereka menganggap Nabi saw sama seperti orang biasa. Maka atas sebab itu, jika kita menganggap bahawa mata kasar itu adalah satu kemuliaan maka tidaklah ada bezanya kita dengan binatang bahkan binatang itu jauh lebih mulia dari kita kerana mereka tidak memerlukan kaca mata untuk melihat seperti sesetengah orang yang memerlukan kaca mata untuk melihat sesuatu. Yang menjadikan manusia itu mulia dan darjatnya lebih tinggi dari sekalian makhluk adalah atas sebab adanya mata hati. Zaid bin Abdillah ketika diberitakan tentang kewafatan Nabi saw langsung saja menadah tangan ke hadrat Allah Ta’ala berdoa meminta Allah Ta’ala mencabut nikmat pandangannya. Dalam doanya dia berkata, Ya Allah, Ya Tuhanku, Cabutlah penglihatan mataku kerana aku tidak mahu melihat seseorang selepas (kewafatan) Rasulullah saw. Allah Ta’ala mengabulkan permintaannya. Beliau tidak mahu melihat sesuatu atas sebab nikmat dunia sebaliknya matanya hanya dikhususkan untuk melihat Rasulullah saw. Maka atas sebab itu, kita juga hendaklah melihat Rasulullah saw dengan mata hati kita. Jika kita tidak melihat Rasulullah saw dengan mata hati, maka kita hanya akan memandang Rasulullah saw sebagaimana pemuka-pemuka bidaah memandang Rasulullah saw seumpama orang-orang biasa. Padahal Nabi saw bukanlah manusia biasa melainkan insan yang diberi penuh kemuliaan kerana diturunkan wahyu kepadanya. Nabi saw bukanlah manusia biasa kerana Nabi saw dikhususkan puasa misal (puasa bersambung yang tidak mampu dikerjakan oleh umatnya), berkahwin lebih dari 4 orang dan memberi hak kepada yang berhak. Nabi saw tidur dengan ingatan yang tidak pernah luput kepada Tuhan. Kata Nabi saw, Aku tidur bersama dengan Tuhanku. Aisyah pernah bertanya kepada Nabi saw, Adakah engkau tidur sebelum engkau solat witir terlebih dahulu? Jawab baginda saw, Kami para Nabi, walaupun mata kami tidur tetapi hati kami tidak pernah tidur. Ketika didalam tidur, Nabi saw mendapat makanan dari Allah Ta’ala. Makanan yang dimaksudkan ialah makanan rohani. Allah Ta’ala mencampakkan ilmu dan ma’rifah ke dalam hati Nabi saw sehingga kenyang hati rohani Nabi saw. Dengan sebab itu, jasad Nabi saw beroleh kekuatan tanpa bergantung kepada makanan yang lazimnya dimakan oleh orang biasa. Kata Syeikh, masa tidur itulah roh akan keluar dari jasad dan berhimpun dengan orang-orang yang dikasihinya. Jika orang yang dikasihinya ialah para kekasih Allah, maka berhimpunlah roh tadi dengan para kekasih Allah. Nabi memberi hak kepada yang berhak maksudnya Nabi sentiasa adil dalam memutuskan sesuatu perkara. Pernah Nabi saw memberi sebentuk cincin kepada tiap-tiap isterinya dan minta tiap-tiap isterinya merahsiakan pemberian cincin itu. Apabila kesemuanya isterinay berkumpul dan bertanya kepada baginda saw tentang siapakan yang paling baginda kasihi diantara semua isterinya itu, maka baginda saw menjawab, Aku mengasihi isteriku yang telah menerima cincin pemberianku. Setiap isterinya menyangka merekalah yang paling dikasihi baginda saw padahal baginda telah mengurniakan cincin kepada tiap-tiap seorang. Inilah contoh keadilan Rasulullah saw yang tidak ada pada orang lain. Akhlak Rasulullah saw adalah akhlak terpuji. Pernah satu hari, seorang perempuan membawa limau lalu memberinya kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw memakan limau itu sehingga habis tidak seperti kebiasaannya dengan berkongsi makanan bersama para sahabat yang lain. Setelah Rasulullah saw memakannya sehingga habis, langsung perempuan tadi mengucap dua kalimah syahadah lalu memeluk Islam. Terpinga-pinga para sahabat melihat kejadian itu. Lalu kata baginda saw, Aku tidak memberi limau itu kepada kalian kerana isinya sangat masam. Aku khuatir kamu tidak akan dapat menahan sabar sedangkan perempuan tadi hanya ingin melihat akhlak dan kesabaranku. Nabi Ibrahim as digelar Kekasih Allah (Khalilullah) kerana baginda tidak pernah fikir tentang rezekinya bahkan semuanya diserahkan kepada Allah Ta’ala dan baginda tidak akan makan melainkan makannya adalah bersama-sama dengan orang lain biarpun terpaksa berjalan berbatu jauhnya semata-mata kerana ingin mencari teman untuk makan bersama. Kata Imam al-Ghazali, tidak akan dihisab sesuatu makanan yang dimakan bersama orang lain dimana barakah turun keatas makanan tersebut. Begitu juga dengan setiap masa kita berbual, makan dan minum sesama ikhwan juga tidak akan dihisab dan tidak dikira sebagai perkara yang membazir asalkan perbualan, makanan dan minuman kita itu adalah kerana Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw, Sesiapa yang bersama kawan dan menggembirakan kawannya dengan memberi makan maka tidaklah ada mudarat pada makanan itu.
Telah menjadi amalan ahli tasawwuf dimana mereka berusaha memupuk hati mereka agar sentiasa menyebut kalimah Allah biarpun lidah tidak bergerak. Maksudnya pada setiap ketika, ingatan hati hanya pada Allah Ta’ala. Kata Ibn Ato’illah, Maha Suci Allah yang telah menghijab seseorang dengan memakai pakaian kemanusiaan. Maka dengan sebab itulah, puak kafir Quraisy tidak dapat melihat kebesaran Nabi saw bahkan tidak dapat menerima kerasulan dan kebenaran yang dibawa oleh baginda saw. Seorang Sultan bertanya kepada ulama di zamannya, samada mereka pernah berhimpun mendengar kalam sufi besar Imam Abu Yazid al-Bustami. Salah seorang dari ulama yang berhimpun menjawab ada. Lalu ditanya oleh Sultan apakah kalam yang paling hebat yang diucapkan oleh Imam besar itu. Kata syeikh tersebut, Sesiapa yang menziarahi makam aku maka jasadnya tidak akan disentuh oleh api neraka. Terkejut Sultan mendengar kata-kata syeikh itu. Lalu beliau mula memikirkan tentang perihal Abu Lahab dan Abu Jahal yang dihumban ke neraka padahal mereka pernah melihat Nabi saw. Lalu maksud sebenar kalam tersebut ialah, sesiapa yang mengasihi para kekasih Allah yang mengasihi kekasih Allah dan kekasih Allah mengasihinya dan Allah mengasihinya maka jasadnya tidak akan disentuh dengan api neraka.
No comments:
Post a Comment