* Catatan bebas ana di Masjid al-Falah USJ 9 pada 10 Disember 2009
Syaitan adalah musuh yang paling nyata bagi orang Islam khususnya bagi orang-orang yang berilmu. Cara syaitan menghasut orang-orang yang berilmu ialah dengan mencetuskan perasaan takabbur didalam hati mereka. Kata syaitan, Membesarkan diri adakan pakaianku manakala bersikap takabbur itu adalah kemegahanku. Jangan kita membanggakan diri apabila menghadiri majlis ilmu. Jangan kita menyangka ilmu kita sudah terlalu banyak sebaliknya bersikaplah tawaduk kerana itulah yang lebih baik bagi orang mukmin. Amanah orang yang berilmu ialah menyampaikan apa yang dimiliki atau yang dikurniakan Allah Ta’ala terhadapnya.
Setiap pekerjaan mempunyai bidang masing-masing. Seorang jurutera atau doktor adalah ahli didalam bidangnya. Setiap pekerjaan itu ada pengkhususannya. Doktor ada kemahiran untuk mengenal pasti sakit yang dihidapi pesakit. Setelah sakit dikenalpasti maka barulah ubat diberikan. Begitulah juga dalam bidang dakwah. Dakwah itu mengikut bidang kepakaran masing-masing. Orang berilmu lain dakwahnya dengan orang awam. Orang berilmu menyampaikan ilmunya kepada orang lain manakala orang awam berdakwah dengan cara menunjukkan akhlak atau suluk yang baik kepada orang lain. Rasulullah saw berhadapan dengan pelbagai ragam dan bentuk manusia. Ada seorang Badwi masuk kedalam masjid dan kencing didalamnya. Para sahabat berang dan mahu memukulnya tetapi dihalang oleh Rasulullah saw. Rasulullah saw menunjukkan akhlak yang terpuji dengan tidak memarahi orang Badwi sebaliknya menanganinya dengan baik dan berhemah malah mampu tersenyum mengenang peristiwa itu. Hikmahnya yang lain pula ialah jika orang Badwi itu dimarahi maka pasti air kencingnya akan bersepah merata-rata didalam masjid.
Dalam satu kisah yang lain, datang seorang pemuda bertanya Rasulullah saw. Katanya, Wahai Rasulullah saw, adalah boleh aku berzina? Sesiapa sahaja akan jawapannya. Dalam al-Quran sendiri ada disebut bahawa penzina perlu disebat 100 kali rotan. Rasulullah saw bagaimanapun menggunakan pendekatan mantik untuk menjawab soalan pemuda itu. Rasulullah saw menghampiri pemuda itu dan merapatkan lututnya yang mulia kepada lutut pemuda itu. Baginda saw meletakkan tangannya yang mulia pada dada pemuda itu sambil berkata, Adakah kamu rela berzina seperti orang yang menzinakan ibu atau saudara perempuan kamu? Rasulullah saw kemudiannya berdoa, Ya Allah! Ampunkanlah dosanya dan berilah hidayat kepadanya. Rasulullah saw menyelesaikan sesuatu masalah dengan menunjukkan akhlak yang terpuji dan berlemah-lembut. Bukan semua perkara boleh diselesaikan dengan cara cara marah atau tegas sebaliknya adakalanya perlu diselesaikan dengan menggunakan pendekatan psikologi. Tidaklah satu tangan itu boleh membersihkan tangannya dengan sebelah tangan sahaja melainkan hanya setelah menggosok kedua belah tangan. Begitulah keadaan orangmukmin iaitu saling melindungi antara satu sama lain. Allah memberi rahmat kepada mereka yang membantu umat Islam yang lain.
Satu lagi contoh ialah kisah Ibrahim bin Adham menjawab soalan pemuda dizamannya. Ibrahim bin Adham sangat alim. Ilmunya sangat luas tetapi beliau sangat tawadhuk. Pada satu hari, beliau didatangi seorang pemuda. Pemuda itu bertanya kepada Ibrahim, Bolehkah saya melakukan maksiat? Ibrahim Adham dengan tenang menjawab, Boleh tetapi setelah kamu menyempurnakan lima syarat yang aku sebutkan ini. Kata pemuda tadi, Sebutkan sahaja lima syarat itu nescaya mampu aku tunaikan. Balas Ibrahim bin Adham, Baiklah. Syarat yang pertama, jangan kamu makan sebarang rezeki Allah. Kata pemuda itu, bagaimana mungkin aku dapat memakan sebarang makanan selain dari pemberian Allah Ta’ala. Sambung Ibrahim bin Adham, Syarat yang kedua, jangan kamu duduk di tempat yang dimiliki Allah. Jawab pemuda tadi, Ini lagi teruk dari syarat yang pertama. Kalau aku tidak boleh duduk di bumi Allah, dimana pula aku hendak tinggal? Sambung Ibrahim bin Adham lagi, Syarat ketiga, pergilah kamu ke suatu tempat dimana Allah tidak boleh melihat kamu. Pemuda tadi langsung tergamam. Sambung Ibrahim bin Adham, Syarat keempat ialah apabila datang malaikat maut cubalah kamu minta tarikh kematian kamu dilewatkan. Pemuda tadi langsung tidak berkata apa-apa. Sambung Ibrahim bin Adham lagi, Dan syarat terakhir, Jika kamu diheret ke neraka, cubalah kamu menolak permintaan Malaikat Zabaniyah.
Wahai saudara-saudara sekalian! Tidakkah kita berasa malu melakukan maksiat sedangkan rezeki yang kita makan datangnya dari Allah Ta’ala, kita duduk diatas bumi Allah dan setiap gerak-geri kita diperhati Allah Ta’ala. Tidakkah kita berasa malu dan gentar melakukan maksiat apabila malaikat maut datang hendak mencabut nyawa kita kemudiannya mengheret pula masuk ke neraka? Mudah-mudahan kita semua berada didalam rahmat Allah dan terpelihara dari sebarang kejahatan.
No comments:
Post a Comment