Sunday, June 27, 2010

Syarah Sairus Salikin - Syeikh Fahmi ZamZam

*Catatan bebas ana di Masjid al-Falah, USJ 9 pada 13 Jun 2010
Adab membaca al-Quran
Imam asy-Syafi’i mengkhatam al-Quran tiap-tiap hari. Apabila tiba bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatam dua kali sehari. Saiyidina Uthman pula akan tidur selepas isyak dan tidak lama selepas itu, beliau bangkit untuk mengerjakan solat sunat malam. Beliau akan mengkhatam al-Quran dalam solat sunatnya itu. Kata Syeikh, kadar yang sederhana ialah dengan mengkhatam seminggu sekali atau paling kurang pun sebulan sekali. Al-Quran perlu dihafal, dibaca dan diamal untuk mengelak diri dari dilaknat Allah. Dalam kitab Zubad (menghimpunkan lebih dari 1000 bait) yang isinya tentang fiqh, ada diceritakan tentang orang yang alim yang tidak mengamalkan ilmunya lalu ia diseksa sebelum orang yang sembah berhala diseksa. Ramai qari jadi munafik kerana mereka ‘menjual’ al-Quran untuk mencari duit. Ada juga qari yang menjadi riak dengan menghebahkan kepada orang lain bahawa suaranya sedap. Tidak kurang juga qari yang bersifat ujub dengan mengharapkan pujian orang lain. Kesimpulannya terdapat golongan yang membaca al-Quran untuk mencari kemegahan dunia.
Adab zahir ketika membaca al-Quran
1. Suci daripada hadas kecil yakni berwudhu’. Bahkan untuk menyentuhnya perlulah ada wudhu’. Andai kata beg yang digunakan untuk menyimpan al-Quran adalah beg yang khusus untuk tujuan itu, maka untuk menyentuh beg itu mestilah dalam keadaan berwudhu’. Begitu juga denganbenda-benda lain yang di’kawan’kan dengan al-quran, mestilah ada wudhu’ untuk menyentuhnya. Inilah kesempurnaan adab dan akhlak bagi mengangkat ketinggian dan kemuliaan al-Quran. Kenapa kita perlu memuliakan al-Quran? Ini adalah kerana al-Quran menjadi teman dan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak.
2. Hendaklah duduk dengan menghadap qiblat, menundukkan kepala dan membacanya seolah-olah ada guru dihadapannya. Cara duduk yang paling betul ialah seperti duduk tahiyat awal. Inilah cara duduk ketika Jibril mengajar Nabi saw. Jangan duduk bersandar dan duduk seperti orang yang takabbur.
3. Al-Quran seelok-eloknya dibaca di dalam solat khususnya solat sunat. Yang mana lebih afdhal, memanjangkan bacaan al-Quran ketika berdiri dalam tahajud atau memanjang sujud? Kata ulama, yang paling afdhal ialah memanjangkan bacaan al-Quran ketika berdiri di dalam solat. Membaca al-Quran di dalam solat lebih besar pahalanya dari membaca al-Quran di luar solat. Tertib pahala membaca al-Quran adalah dalam keadaan berdiri (dalam solat), duduk dan baring.
4. Al-Quran termasuk dalam bab zikir yang terbesar dan paling afdhal.
5. Kita kena peruntukkan masa untuk membaca al-Quran,
a. Orang yang tidak mempunyai apa-apa kerja selain dari beribadat maka ia perlu mengkhatam al-Quran sekurang-kurangnya dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis.
b. Orang yang sibuk dengan aktiviti lain seperti mengajar dan bekerja maka sebaik-baiknya mengkhatam al-Quran seminggu sekali.
c. Orang yang mentadabbur al-Quran sebaik-baiknya mengkhatam al-Quran sebulan sekali.
6. Al-Quran perlu dibaca dengan tartil iaitu dengan memberikan hak pada setiap huruf dengan sempurna. Yang lebih afdhal ialah kualiti bukannya kuantiti. Maksudnya yang lebih afdhal ialah kualiti bacaan bukannya kuantiti bacaan. Ibnu Abbas membaca al-Quran secara tadabbur dan tartil.
7. Sunat membaca al-Quran dalam keadaan menangis / bernada sedih (bit-tahazzun). Air mata yang keluar kerana takutkan Allah tidak akan disentuh api neraka. Bahkan orang-orang yang menangis kerana takutkan Allah akan mendapat naungan Arasy di akhirat kelak.
8. Adakalanya sesuatu ayat itu diulang-ulang bacaannya. Nabi saw mengulang-ulang bacaannya sehingga basah seluruh wajah, janggut dan jubahnya yang mulia. Ulama tabi’in, Muhammad bin Wasiq mengulang-ulang bacaan dua ayat sehingga air matanya membasahi janggutnya. Ayat yang dibacanya (dengan maksudnya) ialah “Tidak ada seorang pun manusia dari Adam hinggalah yang ke terakhir hidup kecuali semuanya akan melintasi api neraka untuk sampai ke syurga”. Kata syeikh, orang yang menangis teresak-esak dalam sembahyang dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyangnya. Kata syeikh lagi, kita kena ‘pukul’ hati kita bagi pecah agar dapat mengalirkan air mata. Diriwayatkan Imam Syafi’i dalam usia yang masih kecil (kira-kira umurnya 7 hingga 10 tahun) sering diminta membaca al-Quran kerana bacaannya yang menusuk jiwa. Ketika itu beliau berada di Makkah dan belum berguru dengan Imam Malik. Setiap kali beliau membaca al-Quran, semua orang akan berteriak menangis mendengar bacaannya. Ini adalah kerana beliau membaca al-Quran dari hatinya bukan sekadar suaranya.
9. Sunat sujud apabila bertemu dengan ayat-ayat sajadah. Dalam solat, jika imam tidak sujud maka makmum tidak boleh sujud. Jika makmum sujud juga maka terbatallah solatnya. Sunat membaca tasbih apabila bertemu denan ayat-ayat tasbih, sunatmembaca doa bila berjumpa dengan ayat-ayat doa, sunat beristighfar bila jumpa ayat istighfar, sunat baca a’uzubiha bila jumpa ayat-ayat yang ditakuti dan sunat membaca doa khatam apabila selesai mengkhatam al-Quran.
10. Adab membaca al-Quran ialah dengan sekurang-kurangnya bacaan kita itu didengari oleh telinga kita. Kalau tidak didengari oleh dirinya maka tiada sah bacaannya. Tapi jika takut riak atau was-was menganggu orang lain sedang solat maka eloklah disirrkan.
11. Sunat memperelokkan bacaan. Suara yang sedap mempunyai jazbah iaitu daya tarikan untuk menghayati isi kandungan al-Quran.
Adab batin
1. Baca al-Quran dengan mengingati makna. Kalau hilang makna maka ulang balik bacaannya. Makna bacaan perlu lekat dalam hati yakni tadabbur (memikirkan) dan tafahhum (memahamkan). Nabi saw mengulang-ulang bacaan Bismillah sebanyak 20 kali untuk menghadirkan makna-makna yang terkandung di dalam ayat itu.
2. Al-Quran perlu difahami dan diamal. Apabila al-Quran diamalkan maka Allah akan menambahkan ilmu ke dalam diri iaitu ilmu rasa (dzauq). Ilmu ini menyebabkan seseorang berasa bertambah lazat untuk beramal. Ilmu ini tidak dikurniakan kepada orientalis (kafir) walaupun mereka mahir dalam ilmu tafsir kerana mereka tidak beramal dengannya. Ilmu ada dua iaitu ilmu kasbi (yang diusahakan) dan ilmu laduni (yang beri Allah Ta’ala). Ilmu laduni dikurniakan Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa dan beramal dengan ilmunya.

No comments:

Post a Comment