*Catatan bebas ana pada 16 Ogos 2009
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar, apabila matahari terbit di tempat tenggelamnya maka ia menunjukkan telah berlaku kecelaruan sistem alam cakerawala. Ini juga menunjukkan betapa kiamat sangat-sangat hampir terjadi dan ia termasuk dalam tanda-tanda besar kiamat. Maksud matahari akan terbit di tempat tenggelamnya ialah matahari akan terbit dari sebelah barat. Pada ketika ini, pintu taubat akan tertutup. Di dahi manusia akan tertulis samada Islam atau Kafir. Pada masa itu, jika ada orang kafir hendak masuk Islam pun, ia sudah tidak berguna lagi. Keadaan ini samalah seperti menjelang ajal. Apabila roh sudah sampai ke halkum maka pintu taubat orang itu sudah tertutup Firaun ketika di ambang maut akhirnya mengaku akan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa as tetapi ia sudah terlambat kerana rohnya sudah sampai di halkum. Ketika dia mengaku beriman, melaikat membalasnya dengan mengatakan, Apakah sekarang ini baru kamu hendak beriman sedangkan kamu terlalu banyak melakukan kerosakan. Pada ketika itu, pintu taubatnya sudah pun tertutup. Berbalik kepada cerita matahari terbit dari sebelah barat tadi, orang yang mengaku beriman juga sudah tidak dikira lagi imannya. Kenapa iman dan islam orang ramai pada ketika itu tidak diterima? Ini adalah kerana bukti kebenaran Islam itu terlalu jelas. Apabila matahari mula terbit dari sebelah barat, ini bermakna bahawa kiamat itu benar-benar akan berlaku. Kata Imam Qurtubi, apabila matahari terbit dari barat, semua manusia menjadi sangat takut sehingga putus segala syahwatnya. Tetapi pada ketika itu segala taubatnya sudah tidak diterima lagi.
Tanda besar seterusnya ialah keluarnya binatang yang sangat ganjil. Binatang ini akan mengecop hidung orang ramai samada mereka itu kafir atau beriman. Di hari-hari terakhir sebelum berlakunya kiamat, Islam akan luntur seperti lunturnya corak pada kain. Islam tidak lebih sekadar ritual zahir sahaja. Orang ramai sudah tidak memahami ajaran yang terkandung dalam Islam. Kata Syeikh, pada masa ini pun ramai orang yang tidak mengerti tentang makna-makna dalam sembahyang. Orang ramai hanya sekadar rukuk, sujud dan sebagainya tanpa memahami makna yang terkandung didalamnya. Di hari Kiamat kelak, orang ramai sudah tidak tahu cara hendak bersembahyang. Kata Syeikh, beliau pernah melihat sekelompok orang Islam yang tidak tahu bersembahyang. Persitiwa itu berlaku pada tahun 1993 ketika Syeikh berkunjung ke Samarkand. Sewaktu solat Jumaat di Masjid Syeikh Ubaidullah, syeikh duduk di saf terakhir. Lalu ternampaklah kelibat manusia yang duduk di taman-taman masjid. Sehinggalah usai solat pun, mereka tetap berada berada di taman itu. Lalu bertanyalah Syeikh kepada orang tempatan, apa sebabnya mereka tidak bersolat? Jawab orang tempatan disitu, Mereka memang tak reti sembahyang. Tanya Syeikh lagi, kalau tak tahu bersolat kenapa mereka datang? Jawab penduduk tempatan itu, Mereka datang ke masjid sebab nak menghadiri upacara pengebumian jenazah ahli keluarga mereka. Perihal sekelompok manusia yang tidak tahu bersolat di Samarkand ini adalah kesan dari cengkaman pemerintah komunis yang menghalang penduduk dari menunaikan ibadah. Kata Syeikh, masjid Abu Laits al-Samarkandi (penulis kitab Tanbihul Ghafilin yang terkenal itu) telah ditutup oleh komunis bagi mengalang orang Islam dari beribadat. Amat menyedihkan apabila ada orang Islam yang tidak tahu beribadat pada waktu itu. Baiklah ketika peristiwa akhir zaman berlaku, al-Quran akan diangkat. Ayat al-Quran akan hilang pada suatu malam. Kata Syeikh, al-Quran ‘merajuk’ kerana sudah tidak ada orang hendak mengamalkannya. Lalu al-Quran naik kembali ke sisi Allah Taala. Apabila peristiwa ini berlaku, ia menandakan bahawa kiamat sudah terlampau dekat. Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang mengucapkan Allah, Allah. Ini bermakna pada ketika kiamat hendak berlaku, kejahilan umat terlampau dahsyat.
Selain al-Quran, kaabah akan diruntuhkan. Yang akan menghancurkannya ialah orang Habsyah yang bergelar Dzus-Suwaiqatain yang bermakna orang yang kedua-dua betisnya kecil. Pada ketika itu, tidak ada lagi orang yang mengerjakan tawaf. Lalu kata Syeikh, seperti al-Quran, kaabah juga sebenarnya ‘merajuk’. Asap tebal akan keluar ke muka bumi selama 40 hari. Keluarnya asap ini akan menyebabkan semua aktiviti tergendala. Orang Islam akan terkena penyakit selesema manakala orang kafir akan mengalami kembung perut dan asap akan keluar dari perutnya. Selepas itu, datang angin lembut dari Yaman. Orang Islam (walaupun sekadar hanya boleh menyebut La Ilaha Illallah) yang mencium angin itu akan mati terlebih dahulu. Yang tinggal hanyalah orang jahat dan kafir. Manusia yang tinggal ini akan digoda syaitan supaya menyembah berhala. Pada ketika ini, tidak ada siapa pun yang boleh menyebut Allah, Allah. Manusia sudah hilang rasa malu dan akhlaknya tidak ubah seperti binatang. Apabila keadaan ini berlaku, ianya diumpamakan seperti perempuan mengandung yang sudah cukup bulan. Maknanya kiamat hanya menunggu masa sahaja. Kemudian gempa bumi yang besar akan berlaku di timur, barat dan Semenanjung Arab. Api besar akan muncul. Api besar ini akan menghalau manusia untuk berhimpun di utara Syam. Israfil akan meniup sangkakala pertama yang disebut nafkhatul faza’. Pada waktu itu, semua orang akan terkejut dan memandang ke langit. Orang yang berada di luar rumah tidak akan sempat balik ke rumah. Israfil meniup sangkakala yang kedua yang bermana nafkhatul sha’q. Sebaik ditupu sangkakala ini, semua benda hancur lebur termasuk Israfil yang meniup tadi kecual 10 perkara iaitu Arasy, Kursi, Lauhul Mahfuzh, Qalam, Syurga dan Neraka dan seisi keduanya, bidadari, kanak-kanak pelayan syurga, roh-roh, jasad para Nabi, jasad syuhada dan sulbi (benih) manusia yang sebesar biji beras yang terletak di tulang punggung manusia. Pada ketika Israfil meniup sangkakala yang ketiga yang bernama nafkhatul ba’st, semua hidupan dihidupkan semula.
Catatan ketika soal jawab antara hadirin dengan Tuan Syeikh
1. Ketika manusia berwukuf di padang Arafah, iblis dan syaitan juga sebenarnya turut berkumpul tetapi di satu tempat yang bernama Wadi Urana (lokasinya sebelum Masjid Ibrahim). Iblis dan syaitan akan menangis ditempat ini apabila melihat semua manusia telah diampun dosanya. Kata iblis dan syaitan, Aku menggoda manusia ini selama berpuluh tahun tapi akhirnya dia datang ke Arafah dan meminta ampun lalu Allah mengampunkan semua dosanya. Peristiwa ini hendak menggambarkan betapa berdoa ketika wukuf di Arafah ini sangat mustajab dan diperkenankan Allah swt
2. Orang kafir yang masuk Islam sebelum menjelang ajal (ketika roh belum sampai lagi ke halkumnya) akan diampun segala dosanya bahkan dosanya juga pasti tidak banyak. Contohnya kisah tukang-tukang sihir Firaun yang akhirnya menerima hidayah dari dakwah Nabi Musa as. Ketika berlawan sihir dengan Nabi Musa as, tukang-tukang sihir ini akhirnya mengakui mukjizat Nabi Musa as dan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa as. Mereka tanpa ragu-ragu langsung beriman. Peristiwa ini membangkitkan kemarahan Firaun lalu menyeksa mereka dengan menyalib sehinggalah mereka mati. Mereka ini langsung ke syurga kerana mereka tidak berbuat dosa. Sebaik mereka beriman, dosa-dosa mereka yang lepas diampunkan Allah swt. Begitu juga dengan peristiwa Ikrimah anak kepada pembesar Quraisy yang terkenal dengan kejahatannya iaitu Abu Jahal. Ketika Rasulullah saw membebaskan Makkah dari cengkaman kafir Quraisy, baginda saw mengisytiharkan nama-nama 6 orang yang jika ditemui mereka ini maka bunuh saja (sekiranya mereka tidak memeluk Islam). Salah seorang dari nama itu ialah Ikrimah. Keenam-enam nama yang disebut oleh Rasulullah saw ini terkenal dengan kejahatan mereka menyeksa orang Islam. Mendengar pengisytiharan Rasulullah saw itu, Ikrimah bersegera lari ke Yaman. Isterinya lalu berjumpa Rasulullah saw. Tanya Ummu Haram isteri Ikrimah, “Ya Rasulullah, betulkah jika Ikrimah masuk Islam maka engkau akan terimanya?” Jawab baginda saw, “Benar, aku menerimanya”. “Apa tandanya?” Tanya isteri Ikrimah lagi. “Kamu berikan selendang aku ini kepada Ikrimah dan suruh dia kemari.” Selendang itu diberikan sebagai tanda pengenalan bahawa Ikrimah dilindungi oleh Rasulullah saw sepanjang perjalannya pulang dari Yaman untuk menemui Rasulullah saw. Pada ketika itu dikhuatiri Ikrimah akan dibunuh oleh para Sahabat jika mereka menemuinya. Oleh itu, dengan adanya selendang Nabi saw disisinya, para sahabat tidak akan mengapa-apakan beliau. Ketika bertemu Rasulullah saw, Ikrimah bertanya, “Wahai Rasulullah, saya sedia masuk Islam tetapi dengan syarat, engkau ampunkan dosa aku”. Lalu Rasulullah saw menjawab, “Ketahuilah kamu wahai Ikrimah! Apabila engkau memeluk Islam maka segala dosa engkau terampun semuanya”.
3. Orang yang murtad adalah orang yang mempermainkan agama. Jika dia memeluk kembali Islam maka dia perlu bertaubat dan segala amalan sepanjang dia murtad wajib diqadha’.
No comments:
Post a Comment