Sunday, August 30, 2009

Manaqib Sayyidah Khadijah al-Kubra - al-Muhaddith Dr Sayyid Muhammad Alawi al Maliki al Hasani - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin

* Catatan bebas ana pada 29 Ogos 2009 di Masjid Taman TAR, Ampang

Kubah maqam Sayyidah Khadijah ra dan anakandanya Qasim (disisi maqam Khadijah dan mempunyai kubah kecil) telah diroboh oleh puak Wahabbi. Gambar kubah itu boleh dilihat pada kulit depan kitab manaqib ini. Salah satu gelaran Sayyidah Khadijah ra ialah Sayyidah al-Tohirah yang bermaksud perempuan suci. Khadijah ra adalah perempuan suci yang tidak pernah dinodai dosa dan terikut-ikut dengan amalan Jahiliyyah. Allah Ta'ala memelihara Khadijah ra dari perkara-perkara tersebut. Rata-rata orang perempuan di zaman Jahiliyyah hanya dijadikan alat pemuas nafsu lelaki tetapi Allah Ta'ala memelihara Khadijah ra bahkan Khadijah ra berada dikalangan wanita yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan dikalangan masyarakat Arab Quraisy. Khadijah ra dikurniakan kemuliaan duniawi dan ukhrawi. Kemuliaan duniawi merujuk kepada kejayaannya sebagai tokoh korporat yang terkenal. Perniagaannya sentiasa sahaja menguntungkan. Kemuliaan ukhrawi pula merujuk kepada peribadinya yang tidak pernah menyembah berhala dan kekal mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as. Selain Khadijah ra, datuk dan bapa Nabi Muhammad saw iaitu Abdul Mutalib dan Abdullah juga tidak pernah menyembah berhala dan mentaati ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as. Biasanya orang hanya dikurniakan salah satu dari dua kemuliaan itu. Ada orang yang jadi alim tetapi tidak mempunyai harta dan kekayaan manakala ada orang yang mempunyai harta yang menimbun tetapi tidak pandai mengaji atau tidak alim. Khadijah ra dianggap wanita yang sangat istimewa kerana dikurniakan dengan kedua-dua kemuliaan tersebut. Salah seorang keturunan Khadijah ra yang mengikut jejak langkahnya yang dikurniakan kedua-dua kemuliaan itu ialah Imam Abul Hasan al-Syazili. Ulama besar ini dikurniakan kemuliaan duniawi dan ukhrawi. Beliau merupakan orang yang sangat alim dizamannya dan pada masa yang sama sangat terkenal di Mesir sebagai orang yang paling kaya. Dikatakan bahawa raja Mesir sendiri tidak mampu membeli kuda dan pakaian yang dimiliki oleh Imam Abul Hasan al-Syazili.

Seperti yang tercatat dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad saw pada peringkat awalnya adalah merupakan pembantu Khadijah dalam urusan perniagaan. Pada peringkat permulaan, sebelum Khadijah mengambil baginda saw menjadi pembantunya, Khadijah melakukan penelitian dengan meninjau-ninjau peribadi Nabi Muhammad saw. Ini menunjukkan kebijaksanaan Khadijah dalam membuat keputusan yakni tidak terburu-buru mengambil seseorang dengan hanya mendengar khabar-khabar orang sahaja. Khadijah ra juga mengkaji sifat Nabi saw berdasarkan cerita yang disampaikan oleh paderi-paderi yang pernah datang ke Makkah dan melihat Nabi saw. Setelah meneliti peribadi baginda saw, Khadijah akhirnya mengambil baginda saw untuk menguruskan perniagaannya. Khadijah mengutus Maisarah (pembantu lelaki) untuk bersama-sama Nabi saw berniaga di Syam. Maisarah dititipkan rasa kasih kepada Nabi saw dan kemudiannya melihat segala macam perkara-perkara aneh yang terjadi pada diri baginda saw. Perkara-perkara itu kemudiannya disampaikan kepada Khadijah ra. Perlu dinyatakan disini bahawa pemergian Nabi saw ke Syam kali ini adalah merupakan kali yang kedua. Baginda saw pernah pergi ke Syam buat kali pertama dengan bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Pada ketika itu, ada paderi yang pernah berjumpa Nabi saw dan kemudiannya menasihati Abu Talib agar segera membawa Nabi saw keluar dari kawasan itu kerana dikhuatiri akan dibunuh oleh orang Yahudi. Orang Yahudi tidak dapat menerima hakikat bahawa Nabi terakhir bukan dikalangan bangsa mereka. Khadijah kemudiannya berkahwin dengan Nabi saw dan membantu dakwah Nabi saw. Kita mestilah ingat bahawa Islam yang sampai kepada kita hari ini salah satunya adalah dengan adanya sokongan material dan rohaniah Khadijah ra kepada Nabi Muhammad saw. Segala harta Khadijah ra digunakan untuk tujuan dakwah Nabi saw. Dengan bantuan Khadijah ra ini, kita dapat mengecap nikmat Islam pada hari ini. Sebab itulah kita kena kenang jasa Khadijah ra. Asbab Islam sampai pada kita hari ini salah satunya adalah dengan adanya sokongan Khadijah ini. Bahkan Khadijah ra dikatakan adalah antara orang yang paling awal syahid ketika berlakunya peristiwa pemboikotan orang-orang kafir di Makkah. Jasa-jasanya sangat besar pada Islam. Menjadi kebiasaan sifat orang-orang mukmin iaitu membalas budi dan jasa orang yang telah memberi banyak sumbangan kepada Islam. Maka amatlah mengaibkan jika kita tidak mengenali Sayyidah Khadijah ra. yang sangat besar jasanya pada Islam ini. Sebab itulah kita kena ambil tahu tentang Sayyidah Khadijah ra ini. Salah satunya ialah dengan membaca manaqib Sayyidah Khadijar ra. Ulama yang beradab akan membaca manaqib untuk meraikan jasa-jasa Sayyidah Khadijah ra. Kata Syeikh, pada hari ini, ramai ulama yang tidak beradab. Mereka bukan sahaja tidak mengambil tahu jasa orang-orang terdahulu yang banyak memberi sumbangan bahkan ilmu yang diambil pula bukan dari sumber yang meyakinkan. Mereka tidak menimba ilmu dari guru-guru yang muaddib malah hanya bergantung kepada pembacaan kitab semata-mata atau Internet. Ilmu perlu diterima dari guru-guru yang muaddib kerana guru boleh menegur dan mengingat jika ada kesalahan sedangkan kitab dan Internet tidak. Kata ulama, orang yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia yang telah banyak berjasa maka segala syukurnya tidak diterima Allah Ta'ala. Lafaz Alhamdulillah tidak akan diterima jika orang itu tidak berterima kasih kepada manusia yang banyak berjasa kepadanya. Ulama-ulama yang beradab lazimnya akan menyebut nama-nama orang yang berjasa dan salah satunya ialah nama Sayyidah Khadijah ra ini.

Harus diingat disini bahawa hubungan jasad terputus tetapi hubungan roh tidak pernah terputus. Orang yang telah meninggal, hubungannya tidak akan terputus dengan orang yang masih hidup. Mereka dapat melihat segala perbuatan orang yang masih hidup. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi saw (yang maksudnya lebih kurang begini), Dihadapkan amalan kamu kepada ahli keluarga kamu yang telah mendahului kamu. Jika amalan anak cucu mereka baik dan selari dengan syari'at maka mereka akan bersyukur Alhamdulillah di alam barzakh. Sebaliknya jika didapati amalan anak cucu mereka buruk maka mereka akan berdoa, "Ya Allah Ya Tuhanku, berilah petunjuk dan hidayah kepada anak cucuku sebelum mereka mati sebagaimana Engkau mengurniakan hidayah kepada aku". Inilah doa orang-orang yang telah mati kepada orang-orang yang masih hidup. Tapi syaratnya roh-roh itu adalah roh-roh yang mendapat nikmat kebaikan dari Allah Ta'ala. Roh-roh yang diazab oleh Allah Ta'ala adalah roh-roh yang tidak mendapat nikmat kebaikan dan roh-roh ini memerlukan doa dari orang-orang yang masih hidup. Contoh roh yang memberi manfaat kepada orang yang masih hidup ialah pada ketika peristiwa Isra' dan Mi'raj apabila Nabi Musa as yang telah wafat berbicara dengan Nabi Muhammad saw dan memberi nasihat kepada Nabi saw tentang fardu solat. Maka atas sebab itu, kita membaca manaqib Sayyidah Khadijah ini kerana Sayyidah Khadijah ra adalah orang yang paling dekat dengan Nabi saw. Kata Nabi saw, Saya mencintai Khadijah. Sesiapa yang mencintai Khadijah maka aku akan mencintai orang itu. Kata seorang wali kutub, Sesiapa yang membaca biografi (manaqib) tokoh/ulama besar maka orang itu akan hidup dan memberi syafaat di hari akhirat kelak. Justeru, dengan membaca manaqib (Sayyidah Khadijah ra) ini, mudah-mudahan kita akan berada dalam kelompok orang-orang yang paling dekat dengan baginda saw dan mendapat syafaat dari orang-orang soleh di akhirat kelak.

Orang sekarang tidak faham tentang alam ghaib. Undang-undang alam ghaib dengan alam nyata tidak sama. Dalam alam nyata, pergerakan seseorang dihadkan oleh jasadnya. Hendak keluar negara memerlukan pasport dan tiket kapal terbang. Sebaliknya dalam alam ghaib, pergerakan roh adalah bebas. Kata Salman al-Farisi, Sesungguhnya para roh itu dibebas oleh Allah Ta'ala. Roh itu boleh pergi kemana sahaja tanpa ada sebarang batasan. Maka tidaklah mustahil, roh-roh orang-orang terdahulu menziarahi kita. Cuma kedatangan mereka tidak dizahirkan sahaja. Ada roh yang dizahirkan. Sebagai contoh, Nabi Muhammad saw pernah mengucap salam dengan memandang ke arah langit. Apabila ditanya sahabat tentang perbuatan Nabi saw itu maka baginda saw menyatakan bahawa, "Aku mengucap salam kepada Isa as yang turun dari langit". Kata Syeikh, hati kita terhijab sebab itulah kita tidak dapat melihat hakikat tersebut. Alam ghaib hanya dapat dilihat oleh orang-orang terpilih yang mempunyai basirah atau pandangan mata hati yang dikurniakan Allah Ta'ala. Salah satu perkara yang menghijab diri kita ialah terlampau memikirkan hal-hal keduniaan. Pernah tangga rumah Nabi saw bergoyang lalu para sahabat meminta izin dari baginda saw untuk membaikinya. Kata Nabi saw, Aku diutuskan bukan untuk mengimarahkan dunia tetapi aku diutuskan untuk mengimarahkan iman. Apabila Allah Ta'ala mencipta dunia, Allah Ta'ala tidak pernah memandang dunia dunialah yang memisahkan Allah dengan hamba-Nya. Pernah seseorang bertanya kepada Rabiah al-Adawiyyah, apakah amalan engkau hingga amalan engkau sampai kepada-Nya. Jawab Rabiah, Aku memohon perlindungan dari-Mu dari segala penghalang yang menjauhkan aku dengan-Mu Ya Allah.

Kata Syeikh, telah banyak ulama yang ada pada masa ini yang suka menghimpunkan harta. Ulama inilah yang disebut sebagai ulama su' yang bererti ulama busuk. Ulama jenis ini amat suka memutarbelitkan ilmu dan sangat ditakuti oleh baginda saw lebih dari dajjal. Sebab itulah Nabi saw dalam setiap kali solatnya akan berdoa memohon kepada Allah Ta'ala agar mendapat perlindungan dari Allah Ta'ala dari azab kubur, api neraka, fitnah dunia, fitnah mati dan fitnah dajjal dimana ulama su; termasuk dalam kategori ini.

No comments:

Post a Comment