Monday, August 24, 2009

Periwayatan 40 hadith beserta sanadnya - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana pada 23 Ogos 2009 di Masjid Taman TAR Ampang

Kitab al-Anwar al-Nabawiyyah merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan 40 hadith sahih dan hasan. Ulama-ulama baik salaf mahupun khalaf amat gemar menghimpunkan sejumlah 40 hadith dalam satu kitab bagi menyempurnakan satu maksud hadith yang bermaksud, “Sesiapa yang menghimpunkan 40 hadith dan menyampaikannya maka aku akan memberi syafaat kepadanya”[1]. Penulis kitab ini ialah al-Musnid al-Doktor Muhammad Mutiq al-Hafiz yang dilahirkan dari kalangan keluarga yang hafiz al-Quran. Keluarganya adalah merupakan kelompok yang paling alim dalam ilmu-ilmu al-Quran di Syam. Disebabkan kealimannya maka beliau telah dipinjamkan ke Dubai untuk membantu menyemak mushaf-mushaf al-Quran yang ada di sana. Syam merupakan tempat yang diberkati Allah swt kerana kawasan ini pernah didoakan oleh kekasih Allah swt yakni Rasulullah saw. Ramai imam besar berasal dari tempat ini seperti Imam Nawawi, Ibn Asakir dan Ibn Kathir. Syam berbeza dengan Najd. Rasulullah saw tidak mendoakan Najd walaupun diminta oleh para sahabat kerana kata Rasulullah saw, disitulah timbulnya gempa aqidah. Memang dari dahulu lagi sehinggalah sekarang, pemuka-pemuka bidaah adalah berasal dari sana. Disanalah munculnya tanduk syaitan. Semenjak dari zaman Rasulullah saw lagi telah muncul Nabi palsu yang berasal dari kawasan itu iaitu Musailamah al-Kazzab. Musailamah ini kemudiannya berjaya dibunuh oleh Wahsyi, orang yang telah membunuh Hamzah bapa saudara dan saudara susuan Nabi saw ketika dalam peperangan Uhud. Pada ketika itu Wahsyi belum memeluk Islam. Setelah Wahsyi memeluk Islam, Nabi saw tidak mahu melihat wajah Wahsyi kerana setiap kali baginda saw melihat Wahsyi, baginda saw akan terkenangkan peristiwa pembunuhan bapa saudaranya. Hamzah merupakan orang yang paling dikasihi oleh Nabi saw. Justeru itu, Wahsyi sentiasa berazam hendak menebus kesalahan lampau kerana telah membunuh orang yang paling dikasihi Rasulullah saw iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib sehinggalah beliau berjaya membunuh Musailamah al-Kazzab. Kata Wahsyi, Sesungguhnya aku bersyukur kepada Allah swt kerana dapat membunuh orang yang paling dibenci oleh Rasulullah saw. Selepas Musailamah, Najd tidak putus-putus menjadi tempat kemunculan golongan-golongan yang memecah-belahkan umat Islam. Antaranya ialah golongan Khawarij yang mengkafirkan orang Islam yang lain. Sebab itulah kata Syeikh, tidak ada ulama yang dilahirkan di Najd sebaliknya hanya pemuka-pemuka bidaah sahaja. Golongan inilah yang sebenarnya mengeruhkan apa yang telah jernih, merosakkan kesatuan umat Islam.
Berbalik kepada kitab tadi, jika diterjemahkan ia membawa maksud cahaya kenabian. Hadith sememangnya mempunyai cahaya. Cahaya ini hanya dapat dilihat oleh mereka yang terbuka matahatinya. Allah Taala mencahayakan wajah orang-orang yang mendengarnya, yang mengingatinya lalu menyampaikannya. Hadith bercahaya kerana pemilik Hadith ini juga adalah insan yang bercahaya. Rasulullah saw setiap kali keluar menunaikan solat Subuh akan bermohon kepada Allah swt agar mengurniakan cahaya kepadanya. Nabi saw juga turut mengakhirkan doanya dengan cahaya. Allah swt menyebut Nabi saw dengan Nur yang bermakna cahaya. Bahkan nama lain Rasulullah saw juga adalah an-Nur. Jadi tidak dapat dinafikan disini bahawa baginda saw sendiri adalah cahaya. Maka setiap yang berhubungan dengan baginda saw adalah bercahaya termasuklah hadith baginda saw. Imam Malik pernah berpesan kepada orang yang menziarahi kota Madinah. Katanya, Apabila engkau berjalan di kota Madinah, hendaklah engkau yakini bahawa di kiri dan kanan kamu adalah keturunan Ansar dan Muhajirin[2] dan hendaklah kamu mengucap salam keatas keduanya. Janganlah kamu melakukan kejahatan terhadap mereka kerana mereka mempunyai hubungan yang sangat erat dengan Rasulullah saw. Kota Madinah dan penghuninya bercahaya kerana adanya jasad Nabi saw yang mulia disitu.
Seperti yang disebut tadi, hadith Rasulullah saw adalah bercahaya. Maka orang-orang yang mendengar, mengingati dan menyampaikannya juga adalah orang-orang yang bercahaya. Allah swt mengurniakan cahaya kepada ahli hadith. Kata Syeikh, muhaddith besar seperti As-Sayyid Abdullah Siddiq al-Ghumari adalah antara ulama besar yang tidak pernah lekang dimulutnya menuturkan hadith. Diriwayatkan bahawa pernah keluar cahaya dari mulutnya apabila beliau membaca hadith. Begitu juga dengan As-Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki. As-Sayyid melazimi kehidupannya dengan membaca hadith Rasulullah saw. Hadith Bukhari dan Muslim menjad amalannya setiap hari. Ketika beliau wafat pada 15 Ramadhan, wajahnya berseri-seri dan bercahaya. Wajahnya yang bercahaya adalah kesan yang nyata hasil dari pembacaan hadith yang menjadi amalan harian beliau.
Rasulullah saw tidak mewariskan harta benda. Bahkan ketika hampir wafat pun, rumah Rasulullah saw dalam keadaan bergelap. Sahabat bertanya Saiyyidatina Aisyah mengapa rumahnya gelap. Kata Aisyah, jika aku mempunyai minyak untuk menyalakan lampu nescaya aku gunakan minyak itu untuk memasak. Ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah saw tidak meninggalkan sebarang harta. Walaubagaimanapun, Rasulullah saw meningalkan hadith yang sangat berharga kepada umat Islam. Hadith-hadith yang dtinggalkan Rasulullah saw mencakupi seluruh kehidupan umat Islam. Mengamalkannya bererti kita menyempurnakan maksud hadith sekaligus mengamalkan sunnah baginda saw. Bahkan cara kita duduk didalam masjid inipun adalah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah saw. Adalah menjadi sunnah Rasulullah bahawa sebaik-baik saf bagi orang lelaki ialah yang paling hadapan manakala sebaik-baik saf bagi perempuan ialah yang paling belakang. Dalam urusan ibadat, mendahulukan orang lain untuk mendapatkan tempat yang lebih baik adalah makruh. Sebagai contoh, kita mempersilakan orang lain berada di saf hadapan. Perbuatan ini hukumnya adalah makruh. Sebaliknya adalah menjadi sunat apabila kita mendahulukan orang lain dalam urusan yang bukan ibadat misalnya menjamu makan kepada tetamu. Diriwayatkan bahawa pada satu hari, Rasulullah saw didatangi oleh seorang tetamu. Pada ketika itu, tiada langsung makanan di rumah Rasulullah saw lalu baginda saw menawarkan kepada para sahabat untuk meraikan tetamunya dirumah mereka. Lalu salah seorang sahabat bangkit menawarkan diri. Sahabat yang menawarkan diri itu pun bukanlah orang berada. Makanan yang ada dirumahnya hanya cukup-cukup untuk keluarganya sahaja. Jadi pada malam itu, beliau bermain helah dengan anak-anaknya dengan menyuruh mereka tidur terlebih dahulu sementara beliau dan isterinya menyediakan makanan. Setelah makanan dimasak, beliau menjamu tetamunya. Adat orang Arab, tuan rumah mesti makan sekali dengan tetamu. Disebabkan makanan tersebut hanya cukup-cukup untuk tetamu itu, sahabat ini lalu menutup lampu dan berpura-pura menjamah makanan. Keesokannya, beliau bertemu dengan baginda saw. Kata Rasulullah saw, Allah swt ‘ketawa’ yakni redha akan perbuatan sahabat yang telah mendahulukan tetamunya. Kenapa Rasulullah saw menganjurkan para sahabat agar memuliakan para tetamu dan mendahulu tetamu khususnya dalam menjamu makanan? Ini adalah kerana makanan yang disentuh oleh tetamu tidak akan dihisab. Kata Syeikh, lagi banyak makanan yang kita makan maka bertambah banyaklah perkara yang akan dihisab. Sebab itu, untuk mengelakkan dari dihisab khususnya tentang makanan, ajaklah orang lain makan sekali. Itulah sebabnya mengapa dikatakan makanan yang dimakan secara beramai-ramai itu membawa keberkatan yang sangat besar. Selanjutnya kata Syeikh, duduk dalam majlis makan juga tidak dikira membazirkan waktu. Moreh yang dianjurkan dalam bulan ramadhan adalah satu sunnah. Buktinya, para sahabat tidak akan meninggalkan majlis sehinggalah mereka memakan sesuatu terlebih dahulu walau hanya seteguk air. Bahkan dalam satu hadith musalsal, diriwayatkan bahawa Rasulullah saw menyampaikan maksud hadith dengan menjamu para sahabat dengan air putih (air kosong) dan buah tamar. Tentang adab pergaulan antara lelaki dan perempuan, ianya juga adalah berdasarkan hadith Rasulullah saw. Pada suatu hari, Abdullah ibn Maktum, sahabat yang buta matanya datang ke rumah Nabi saw. Ketika beliau bercakap dengan Nabi saw, Aisyah mengamat-amati Abdullah ibn Maktum. Perihal Aisyah itu dikesan Rasulullah saw lalu baginda saw menegur Aisyah. Apa yang kamu buat Aisyah? Aisyah menjawab, Aku melihat Abdullah. Dia seorang buta dan dia tidak dapat melihat aku. Kata Rasulullah saw, Benar beliau buta tapi kamu dapat melihat. Teguran Rasulullah saw terhadap Aisyah itu adalah untuk memberitahu bahawa ada batas-batas antara lelaki dan perempuan. Sebab itulah apabila Aisyah mengajar, maka digunakan salah satu dari dua cara untuk mengajar. Murid-murid Aisyah terdiri dikalangan sahabat. Caranya ialah samada berada di belakang tabir atau melalui perantaraan anak saudaranya dimana anak saudara akan menjadi wakil dirinya untuk mengajar.



[1] Taraf hadith ini adalah dhaif
[2] Golongan Ansar dan Muhajirin adalah merupakan sahabat-sahabat Nabi saw. Ansar merujuk kepada sahabat Nabi saw yang berasal dari Madinah manakala Muhajirin merupakan sahabat Nabi saw yang berhijrah dari Makkah.

No comments:

Post a Comment