*Catatan bebas ana pada 22 Ogos 2009 di Masjid Taman TAR Ampang
Banyak peristiwa penting dalam Islam berlaku di bulan Ramadhan. Perjuangan Nabi saw banyak berlaku dalam bulan Ramadhan. Pembukaan Makkah juga berlaku dalam bulan Ramadhan. Ketika hendak membebaskan Makkah dari cengkaman kafir Quraisy dan belenggu berhala, Nabi saw bermusafir dari Madinah dengan jarak yang begitu jauh tanpa kemudahan moden seperti hari ini. Pernah berlaku juga peperangan antara kerajaan Islam Mesir dengan Israel dalam bulan Ramadhan. Kesimpulannya disini ialah kita jangan bersikap pasif dan memperbanyakkan tidur dalam bulan Ramadhan ini. sebaliknya isikanlah ruang dan masa yang ada dan cergaskanlah diri khususnya dalam menuntut ilmu. Luqman al-Hakim berkata, apabila penuh perut seseorang maka bisulah hikmahnya, kelulah lidahnya. Oleh itu, dengan perut kosong seperti berpuasa dalam bulan Ramadhan ini maka kita sepatutnya dapat menuturkan lebih banyak hikmah, ilmu makrifah dan sebagainya. Tazkirah di bulan Ramadhan sebenarnya cukup dengan mengucap hadith Rasulullah saw lalu mengupas hadith tersebut. Nabi saw ketika di bulan Ramadhan tidak mengadakan kuliah atau tazkirah yang panjang kerana baginda amat memahami dengan sikap manusia yang mudah jemu dan bosan sekiranya diulang-ulang perkara yang sama atau diberi peringatan dengan kadar yang panjang. Sebab itulah jika kita rujuk pada hadith baginda saw, hadith berkenaan hanya terdiri dari beberapa baris sahaja. Hadith itulah tazkirah yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Bulan Ramadhan adalah bulan dimana kita beramal akan segala ilmu-ilmu yang telah kita pelajari dalam 11 bulan selain bulan Ramadhan.
Imam Abdullah Alawi al-Haddad seorang mujaddid dizamannya yang telah mengabdikan dirinya dengan ilmu tatkala masuk sahaja bulan Ramadhan maka beliau akan mengetepikan segala kitab-kitabnya dan tidak mengajar untuk beramal sepenuhnya dibulan yang mulia itu. Begitu juga dengan tokoh-tokoh besar Islam yang lain seperti Imam Ahmad Hanbal dan Imam asy-Syafi’I yang menunjukkan kekuatan luarbiasa dalam menjalankan ketaatan kepada Allah swt. Dizaman mereka, tidak ada vitamin penambah tenaga pun, tidak ada kenderaan dan alat bantuan atau sokongan yang lain tetapi mereka telah menunjukkan ketaatan yang sangat luar biasa. Sepatutnya kita berasa malu kerana kita mempunyai pelbagai kelengkapan yang moden tetapi tidak mengarahkan ketaatan kita pada hal-hal akhirat sebaliknya untuk tujuan dunia. Dalam bulan Ramadhan, ada dikalangan umat Islam yangboleh berjam-jam berjalan di pusat membeli-belah seperti di Wisma Yakin, Tesco, KLCC dan sebagainya tetapi memberi seribu alasan untuk tidak menunaikan solat tarawih 20 rakaat. Kata Syeikh, untuk menunaikan solat sunat seperti tarawih, tidak ada masalah untuk dikerjakan secara duduk jika tidak berupaya untuk berdiri kerana Nabi saw pernah mengerjakan solat sunat dalam keadaan duduk. Yang penting ialah menunaikan solat tarawih itu. Janganlah terlalu condong kepada tujuan dunia secara berlebih-lebihan sehingga lalai akan tujuan akhirat, takut-takut satu masa nanti akan ditarik atau dicabut kemuliaan oleh Allah swt, nauzubillah. Berdiri dihadapan Allah ketika mengerjakan solat adalah gambaran kepada berdirinya kita di akhirat kelak. Kalau berdiri dengan keadaan tanpa rasa lazat atau nikmat maka celakalah nanti apabila berhadapan dengan Allah swt di akhirat kelak, nauzubillah. Sebab itulah apabila kita berdiri menunaikan solat, kita hendaklah menunaikannya dengan penuh rasa lazat dan nikmat supaya dekat dengan Allah swt di akhirat kelak. Kita sepatutnya seronok bermunajat dengan Allah swt. Jadikanlah Ramadhan sebagai kem untuk membina kekuatan kita untuk taat kepada Allah swt. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita membuat keputusan. Keputusan untuk memilih Allah swt dan tinggalkan makhluk. Kita perlu menggagahkan diri dan membulatkan tekad untuk memilih jalan ini. Memilih jalan ini bukanlah maksudnya meninggalkan anak isteri kita sebaliknya letaklah matlamat utama kita iaitu untuk mencintai Allah swt lebih dari segala-galanya dan mendahulukan urusan akhirat sebelum menyempurnakan urusan dunia. Sebagai contoh, apabila bangun subuh, tunaikan dulu solat subuh secara berjemaah sebelum mengerjakan urusan dunia yang lain.
Tentang surah al-Fatihah, surah ini terlalu banyak rahsianya. Kata Saiyidina Ali, Jika aku dipanjangkan usia nescaya akan aku tafsirkan surah al-Fatihah dengan isi kandungannya menyamai kitab-kitab yang dibawa oleh 70 ekor unta. Jadi bayangkanlah betapa meluasnya isi kandungan Surah al-Fatihah ini. Kata Syeikh, surah al-Fatihah ini adalah samudera atau gedung ilmu dimana didalamnya tersimpan rahsia-rahsia ilmu yang sangat meluas untuk dikupas. Sebagai mukadimah hari ini, maka didahulukan dengan pengijazahan hadith musalsal surah al-Fatihah. Musalsal ertinya kita meriwayatkan hadith ini seperti generasi sebelumnya meriwayatkannya. Hadith musalsal ini sangat istimewa kerana ia menunjukkan betapa tradisi ilmu-ilmu Islam itu dihubungkan secara rantaian (bersalasilah) dan dijaga dengan penuh adab. Kata Syeikh, masa untuk membaca hadith musalsal ketika beliau bersama gurunya dahulu ialah selepas solat tahajjud. Solat tahajjud itu pula dibaca surahnya 1 juzuk. Sebelum itu (dalam bulan puasa) diadakan solat tarawih. Jadi kata Syeikh, bukanlah satu pekerjaaan yang mudah untuk meriwayatkan hadith musalsal ini. walaubagaimanapun, apa yang dilakukan oleh para masyaikh itu bukanlah untuk mendera atau menyusahkan si penuntut ilmu sebaliknya adalah untuk memastikan bahawa si penuntut ilmu itu benar-benar orang yang bersungguh-sungguh dan membulatkan tekad untuk menimba ilmu. Ini juga bagi memastikan supaya ilmu benar-benar jatuh kepada orang yang benar-benar hendak menuntutnya lalu beramal dengannya. Pengijazahan hadith musalsal ini juga menunjukkan bukti betapa ulama-ulama yang menjadi penghubung salasilah sehingga sampai kepada baginda Rasulullah saw amat mencintai Nabi saw dan mengamalkan sunnah baginda saw. Almarhum Syeikh Yasin Isa al-Fadani ketika mengijazahkan hadith musalsal secara bersalam telah bersalam dengan 100, 000 orang bagi menyempurnakan maksud hadith tersebut. Syeikh Yasin Isa juga telah mengijazahkan hadith beserta sanadnya kepada Syeikh Ismail Zein al-Yamani[1] dengan sanadnya sahaja mencapai 3 jilid kitab. Kenapa Syeikh Yasin bersusah-payah berbuat demikian? Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana beliau sangat mencintai baginda saw dengan mengamalkan sunnah dan menyempurnakan maksud hadith tersebut. Kata Syeikh, para ulama tidak pernah berasa jemu atau letih sebaliknya berasa amat seronok apabila berjaya menyempurnakan maksud hadith tersebut. Apa yang penting ialah supaya hadith tersebut dapat disampaikan kepada orang lain untuk diamalkan dan memastikan rantaian salasilah agar sentiasa terpelihara dan berhubungan sehingga kepada Rasulullah saw. Apa pula pentingnya sanad hadith? Kata Syeikh, kalau tidak ada sanad maka terbuanglah darjat orang yang bergelumang dalam ilmu hadith. Orang yang meriwayat hadith beserta sanadnya digelar musnid. Jelas disini bahawa kaedah pembelajaran Islam dengan Barat adalah amat berbeza. Kaedah pembelajaran Barat tidak mengutamakan rantaian ilmu, dengan itu ilmu terputus. Apabila rantaian ilmu tidak ada maka barakah ilmu tidak wujud. Dalam Islam, rantaian ilmu bersambung antara ulama khalaf dengan ulama salaf. Rantaian ilmu ini tidak terputus dan sentiasa terpelihara. Ilmu mesti diambil dari guru. Caranya ialah dengan bertalaqqi. Ilmu yang diambil dari pembacaan semata-mata tidaklah kukuh. Ilmu al-Quran juga diambil atau dipelajari secara bertalaqqi. Nabi saw bertalaqqi dengan Jibril as. Pada setiap bulan Ramadhan, Jibril as akan turun menemui baginda saw untuk bertadarus bersama baginda saw. Jibril as mengajar cara menyebut, tempat waqaf[2] dan sebagainya kepada Nabi saw. Jadi kesimpulannya disini ialah talaqqi itu sangat penting dalam proses pembelajaran. Orang yang tidak duduk dihadapan ulama untuk menimba ilmu maka ilmunya tidak layak untuk diambil darinya. Ilmu perlu diambil dari ulama yang berhubungan, yang berantaian supaya ilmu yang sampai itu adalah ilmu yang benar bukannya ilmu yang hanya mencari-cari kesalahan orang lain. Keberkahan ilmu itu terpancar apabila diambil dari guru. Ini adalah kerana ilmu yang diambil itu berada di kedudukan yang mulia. Manakan tidak, apabila kita berhadapan dengan guru maka segala tertib dan adab dijaga dengan baik lalu ilmu yang disampaikan mempunyai nilai yang sangat tinggi kedudukannya. Adanya sambungan atau rantaian ulama itu juga secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan terhadap usaha ulama yang telah bersusah-payah meriwatkan hadith. Maka atas sebab itulah kita perlu meminta izin dari para syeikh untuk menerima hadith Rasulullah saw ini. Ulama di kalangan sahabat telah bermusafir ke Syam dari Madinah dimana perjalanannya pergi sahaja memakan masa selama sebulan semata-mata hendak meriwayatkan satu hadith sahaja. Kata Syeikh, beliau bermusafir seorang diri ke pelbagai negara seperti Sudan, Dubai, Turki, Damsyik dan sebagainya untuk meriwayat hadith. Apabila berhadapan dengan masyaikh, hanya dua perasaan yang timbul iaitu takut dan harap. Takut jika diuji oleh masyaikh manakala harap, mudah-mudahan masyaikh akan mengijazahkan hadith berkenaan.
No comments:
Post a Comment