Tuesday, August 4, 2009

Malam Pembebasan dari Apa Neraka - Kitab Kelebihan Malam Nisfu Sya'aban - Disyarah oleh Syeikh Fuad Kamaluddin

* Catatan bebas ana di Surau Kemensah Height pada 4 Ogos 2009

Pada malam Nisfu Sya’aban, Allah swt membebaskan manusia dari neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab (Puak yang paling banyak memelihara kambing)[1]. Orang yang bersikap takabbur pada Malam Nisfu Sya’aban, orang yang menderhaka kepada dua ibubapanya dan orang yang minum arak tidak akan mendapat rahmat Allah swt serta tidak akan dipandang oleh Allah swt. Pada malam Nisfu Sya’aban, Nabi saw meminta izin dari isterinya yang dikasihi, Saiyidatina Aisyah ra untuk bermunajat dan bermohon kepada Allah swt.[2] Isteri Nabi saw dan para sahabat yang lain disebabkan terlalu mencintai Nabi saw sentiasa berhati-hati dan adab mereka dalam menuturkan kata-kata mereka. Aisyah ra lalu berkata kepada Baginda saw, Aku izinkan ayahanda dan bondaku sebagai tebusanmu menandakan bahawa beliau mengizinkan Rasulullah saw untuk meneruskan ibadah Baginda saw. Memang begitulah isteri dan para sahabat apabila berbicara dengan Nabi saw. Setiap kali jika Nabi meminta izin sesuatu maka dijawab oleh isteri Baginda saw dan sahabatnya, Aku izinkan ayahandaku dan bondaku menjadi tebusanmu. Betapa sayangnya mereka kepada Baginda saw. Sahabat sangat menjaga keselematan Nabi saw. Mereka bertindak sebagai perisai kepada Nabi saw. Sebab itulah apabila ada orang yang menyerang Nabi saw tidak kiralah dari segi peribadi dan sunnah-Nya maka adalah wajib bagi kita untuk mempertahankan Baginda saw. Inilah caranya untuk kita menunjukkan kasih-sayang dan kecintaan kita kepada Baginda saw sebagaimana yang telah dilakukan oleh isteri Baginda saw dan para sahabat.
Setelah diizin oleh Aisyah, Nabi bangun lalu sujud dalam tempoh yang sangat lama. Lalu baginda berdoa dengan doa berikut,




Antara isi kandungan doa itu ialah tentang nikmat Allah yang terlalu banyak sehingga tidak ada sesiapa pun yang dapat memahami hakikat ketuhanan yang sebenarnya. Apabila kita tidak dapat memahami hakikat ketuhanan yang maha luas itu maka kita memuji Allah dengan berkata “Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu keatas Zat-Mu seperti yang terkandung di bahagian akhir doa tersebut. Ini adalah kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui akan hakikat-Nya yang sebenar oleh itu segala pujian yang layak bagi-Nya adalah untuk-Nya dan kembali kepada-Nya.
Aisyah menghafal doa yang dibaca oleh Nabi saw ketika sujud tadi lalu disampaikannya kepada para sahabat yang lain seperti Abu Said al-Khudri dan disampaikan pula secara turun-temurun sehinggalah kepada kita pada malam ini. Dengan hanya sekali dengar sahaja Aisyah sudah boleh menghafal doa yang dibaca oleh Baginda saw. Ini sekaligus menunjukkan kecerdikan dan kebijaksanaan Aisyah dan atas sebab itulah Aisyah digelar muwafaqqah iaitu wanita yang diberi taufiq oleh Allah.
Kata Syeikh, Hadith berkenaan Nisfu Sya’aban memang lemah tetapi disebabkan ia banyak diriwayat maka martabat hadith itu diangkat dari kedudukan dhaif kepada hasan li ghairihi. Hadith dhaif boleh diterima dan diamalkan asalkan ia tidak berkaitan dengan soal aqidah dan hukum-hakam dan inilah yang dipegang oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Lazimnya hadith-hadith ini menunjukkan tentang kelebihan sesuatu perkara, tempat, tokoh dan sebagainya dan boleh beramal dengan hadith ini bahkan ia juga menunjukkan akan kebesaran agama Islam itu sendiri.
Pada Malam Nisfu Sya’aban, Allah menilik[3] hamba-hamba-Nya maka Allah mengampunkan semua hamba-Nya melainkan orang musyrik dan musyahin[4]. Allah menurunkan rahmat-Nya pada malam Nisfu Sya’aban ke langit dunia. Maka dia mengampunkan setiap sesuatu melainkan orang kafir atau orang yang mempunyai sifat dengki yakni merujuk kepada golongan musyahin yang disebut tadi.


Fasal menghidupkan malam Nisfu Sya’aban
Ada orang mengatakan bahawa menghidupkan malam Nisfu Sya’aban adalah bidaah. Pendapat ini disandarkan dengan mengatakan baginda saw tidak pernah melakukannya. Sedangkan pada malam itu, Baginda saw mengerjakan ibadah seorang diri dengan bersolat. Sering yang jadi pertelingkahan ialah tentang pendapat yang menyatakan bidaah mengadakan perhimpunan pada malam Nisfu Sya’aban. Sebenarnya kata Syeikh, tidak ada masalah hendak mengerjakan ibadah seorang diri atau berhimpun dalam usaha menghidupkan malam Nisfu Sya’aban. Apa yang paling penting ialah, menghidupkannya. Kata Syeikh, umat Islam pada zaman ini sibuk mempertikaikan masalah-masalah yang remeh-temeh seperti solat tarawih 8 atau 20 rakaat, mengadakan mawlid dan sebagainya tetapi pada masa yang sama boleh pula membiarkan perkara-perkara mungkar berleluasa seperti maksiat dan sebagainya. Kata Syeikh, jika generasi awal kita tidak berpegang pada SWJ yang sebenar maka sudah pasti negara kita tidak akan maju seperti sekarang ini. Tidak ada bangunan KLCC dan sebagainya kerana asyik mencanang perkara-perkara bidaah disini-sana. Kenapa kita tidak meneladani generasi-generasi terdahulu kita yang berpegang kuat pada ASWJ? Sebab kehancuran Afghanistan ialah kerana mereka bertelingkah sesama sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak berpegang kepada aqidah ASWJ yang sebenar. Mereka asyik membidaahkan orang lain akhirnya negara mereka musnah atas tangan mereka sendiri. Padahal ketika kejayaan mereka mengalahkan kuasa besar Rusia adalah disebabkan mereka berpegang kepada ASWj yang sebenar. Mujahid Afghan mengamalkan tasawwuf dan tariqat yang dianjurkan oleh Asy-Syeikh Bahauddin Naqsyabandi yang dinisbahkan kepada tariqat Naqsyabandiah. Mereka beramal bersungguh-sungguh sehingga mereka tidak bergantung kepada senjata sebaliknya menjadi doa sebagai silah untuk menentang orang-orang kafir. Mereka berdoa dengan keyakinan yang sangat tinggi, yakin bahawa bantuan Allah swt akan sampai kepada mereka. Maka tidak hairanlah apabila pada masa itu, benda-benda seperti batu pun boleh memusnahkan tentera kafir Rusia. Tetapi setelah menang dan Puak Taliban yang cenderung kepada Wahabbi mengambil-alih maka dengan sekelip mata negara mereka menuju kehancuran. Ini kerana puak ini sibuk mengatakan itu bidaah dan ini bidaah sehinggakan amalan ASWJ yang sebenar tidak dipedulikan. Akhirnya rahmat Allah terangkat dan negara menjadi kucar-kacir.
Kata Syeikh, orang-orang yang sibuk mengatakan bahawa menghidupkan malam Nisfu Sya’aban adalah bidaah agaknya terlupa akan pendirian Imam Ahmad bin Hanbal. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, antara pendapat manusia dengan hadith dhaif, aku lebih suka menerima hadith dhaif. Kalau Imam Ahmad Hanbal seorang ulama besar yang sangat berpegang dan mempertahan sunnah dengan segenap jiwa raganya berkata sedemikian maka wajarkah kita berpegang dengan pendapat manusia yang mencanang bahawa itu bidaah dan ini bidaah dengan alasan tidak boleh beramal dengan hadtih dhaif. Tinggi sangatkah ilmu kita jika dibanding Imam Ahmad Hanbal? JIka Imam Ahmad Hanbal boleh berpegang dengan hadith dhaif kenapa kita sibuk menolaknya dengan alasan ianya bidaah? Imam Ahmad bin Hanbal adalah tokoh besar Islam yang sangat alim, warak dan kuat mempertahan Sunnah. Dalam usaha mempertahankan sunnah, beliau sanggup diseksa dan dipenjara. Istana Abbasiyyah pada ketika itu dipengaruhi oleh fahaman Muktazilah tetapi beliau tetap berpegang kepada ASWJ. Maka atas sebab itu beliau diseksa oleh penguasa. Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang periwayat hadith yang sangat masyhur dan begitu menjaga adab-adab perawi. Diriwayatkan beliau sanggup turun dari Iraq menuju ke Yaman bagi meriwayat satu Hadith. Tokoh yang hendak ditemunya itu ialah Abdur Razzaq Humam. Dalam perjalanannya ke Yaman, Imam Ahmad singgah dahulu di Makkah. Lalu di Makkah datang orang membawa berita kepadanya bahawa Abdur Razzaq berada di Makkah. Imam Ahmad menjawab, Biarkanlah dia berada di Makkah kerana aku telah menetapkan niatku untuk mengambil hadith darinya di Yaman. Imam Ahmad berbuat demikian bagi memenuhi syarat untuk mengambil hadith itu iaitu mesti berada di Yaman. Dengan cara itu barulah beliau boleh menjadi ahli sanad dari Yaman. Begitulah adab-adab yang sangat dijaga oleh Imam Ahmad yang patut dicontohi oleh generasi pada masa ini dalam usaha menghidupkan amalan mengambil sanad hadith. Ketika Abdur Razzaq berangkat pulang ke Yaman, Imam Ahmad Hanbal mengikutinya dari belakang. Sehinggalah sampai di Yaman, barulah beliau mengambil hadith dari Abdur Razzaq bin Humam itu. Apa hikmahnya ulama-ulama besar ini menjaga adab sedemikian rupa? Tujuannya tidak lain iaitu untuk menunjukkan kesungguhan dalam usaha meriwayat hadith Nabi. Secara tidak langsung, ia menunjukkan betapa mendalam dan kasihnya kita kepada Nabi saw apabila bersungguh-sungguh dan memelihara adab ketika meriwayat sesuatu hadith yang dihubungkan kepada Baginda saw.
Kita jangan terlupa bahawa malam Nisfu Sya’aban juga adalah malam dimana kiblat bertukar arah dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Setelah diejek oleh orang Yahudi kerana Nabi saw mengerjakan solat dengan berkiblatkan Baitul Maqdis yang dianggap kota suci bagi mereka, maka Nabi saw pun bermohon kepada Allah swt. Allah swt memperkenankan doa kekasih-Nya dengan memerintahkan supaya kiblat dialihkan dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Maka dengan itu, perisitiwa Malam Nisfu Sya’aban ini adalah satu kemenangan bagi umat Islam yang harus diingati oleh setiap umat Islam. Atas sebab itu, amatlah wajar bagi umat Islam menghidupkan malam Nisfu Sya’aban dalam usaha mendapat keredhaan Allah swt serta menunjukkan rasa kasih dan sayang kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.
Akhir sekali kata Syeikh, berbuat taat-lah dalam mengerjakan perintah Allah dan Rasul-Nya pada malam Nisfu Sya’aban


[1] Menunjukkan Rahmat Allah terlalu luas, tidak terhitung banyaknya.
[2] Adab yang perlu diikuti oleh sang suami
[3] Bermakna orang-orang yang dikasihi-Nya
[4] Orang-orang yang mengengkari iktiqad ASWJ

No comments:

Post a Comment