Sunday, August 2, 2009

Sairus Salikin - bab solat-solat sunat - Disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam pada 2 Ogos 2009

* Disyarah di Masjid al-Falah USJ. Dibawah adalah catatan bebas ana.

Fasal pada menyatakan solat tarawih
Solat tarawih ini sunat dikerjakan secara berjemaah. Solat tarawih adalah sunat muakkad. Keempat-empat mazhab sepakat bahawa solat tarawih dikerjakan sebanyak 20 rakaat. Dalam sejarah, Nabi saw solat 8 rakaat tetapi Umar al-Khattab solat 20 rakaat. Perbuatan Umar ini tidak mendapat halangan dari sahabat yang lain. Di Masjid Nabawi, sejak dari zaman Umar sehinggalah sekarang, solat tarawih dikerjakan sebanyak 20 rakaat. Dan ianya tidak mendapat bantahan dari para sahabat. Sebenarnya tidak ada masalah, boleh sahaja mendirikan solat 8 rakaat atau 20 rakaat. Kita tidak boleh mengelirukan orang awam samada mengikut bilangan yang dilakukan oleh Nabi saw atau Umar. Kita tidak boleh menganggap Umar tidak mengikut Nabi saw kerana jika Umar tidak mengikut Nabi saw pasti sahabat akan mengengkari perbuatannya. Jangan terlalu membesar-besarkan isu ini kerana sahabat terlebih faham akan setiap perbuatan Nabi saw. Cuma kata Syeikh, solat 8 rakaat yang dikerjakan oleh Nabi saw itu terlalu indah, berkualiti dan tidak terkejat-kejar hendak menghabiskannya. Yang paling penting kata Syeikh ialah menunaikan solat itu bukannya langsung tak tunai. Untuk solat tarawih, setiap dua rakaat akan disertakan dengan satu salam. Jika kerjakan solat tarawih dengan 4 rakaat dan satu salam maka solat ini terbatal. Solat tarawih dikerjakan selepas selesai solat Isyak. Jika dalam berkeadaan musafir dan telah menunaikan jamak taqdim dalam waktu maghrib, maka si musafir tadi boleh menunaikan solat tarawih. Sebaliknya jika seseorang itu bangkit pukul 2 pagi tetapi masih belum menyempurnakan solat Isyak maka beliau tidak boleh mengerjakan solat tarawih.
Solat tarawih jika dikerjakan secara berjemaah akan mendapat pahala berjemaah. Begitu juga dengan solat witir yang dikerjakan dalam bulan Ramadhan (selepas tarawih) akan mendapat pahala berjemaah. Solat witir jika dilakukan diluar bulan Ramadhan tidak akan mendapat pahala berjemaah walaupun boleh dilakukan secara berjemaah. Begitu juga dengan solat hajat dan dhuha yang boleh dikerjakan secara berjemaah tetapi tiada ganjaran pahala berjemaah. Tentang solat witir tadi, dalam mazhab Syafi’I, hanya satu witir sahaja dikerjakan untuk satu malam. Jika hendak melakukan solat sunat yang lain, tidak perlu membatalkan witir dengan cara menggenapkannya kembali. Dengan itu, tidak ada masalah jika seseorang melaksanakan witir secara berjemaah selepas selesai tarawih kerana itu adalah lebih baik dengan ganjaran pahala berjemaah.
Solat tarawih ini juga ada sejarahnya. Pada satu malam, Nabi saw keluar dan bertemu dengan sahabat. Ketika Nabi saw solat, sahabat lain menjadi makmum dan Nabi saw membenarkannya. Keesokannya, bilangan sahabat yang menyertai solat bersama Nabi saw bertambah. Pada malam ketiga, masjid melimpah ruah tetapi Nabi saw tidak keluar dari biliknya. Setelah subuh barulah Nabi saw keluar dan bersyarah kepada sahabatnya. Yang sebetulnya Nabi saw bimbang kalau-kalau solat tarawih ini diwajibkan kepada umatnya. Adapun ketika di zaman Umar al-Khattab, beliau menghimpunkan semua sahabat dan umat Islam yang lain untuk menunaikan solat tarawih bersama-sama kerana mereka sudah maklum bahawa solat tarawih tidak menjadi wajib.[1] Dizaman Imam Malik, solat tarawih ditambah -bilangannya menjadi 30 rakaat. Sebab-musabab bilangan rakaat itu ditambah ialah kerana orang-orang Madinah berasa iri hati dengan orang-orang Makkah yang mengerjakan tawaf setiap kali selesai menyempurnakan 4 rakaat solat tarawih. Jadi, untuk mengimbangi lamanya solat tarawih di Makkah, orang-orang di Madinah menambah lagi 10 rakaat menjadikannya 30 rakaat kesemuanya.
Fasal pada menyatakan solat antara maghrib dan isyak dalam bulan Rejab
Solat ini tergolong dalam kategori solat ragha’ib. Tidak boleh diniatkan sempena bulan Rejab kerana ia adalah bida’ah tetapi niat sahaja solat sunat dua rakaat (solat sunat mutlak). Satu lagi solat sunat yang tergolong dalam kategori solat ragha’ib ialah solat sunat malam Nisfu Sya’aban. Mengerjakannya dengan meniatkan atas solat sunat malam Nisfu Sya’aban adalah satu perbuatan bida’ah sebaliknya niatkan sahaja solat sunat mutlak. Kata Imam Zainuddin al-Malibari, Solatlah banyak mana pun tetapi janganlah diniatkan secara khusus.
Solat sunat kerana sebab ada 10 iaitu solat gerhana, minta hujan, jenazah, tahiyatul masjid, wuduk, antara azan dan iqamah, dua rakaat ketika masuk dan keluar rumah, istikharah, hajat dan tasbih.
Solat sunat gerhana
Sunat mandi sebelum mengerjakan solat. Nabi saw mengerjakan solat ini secara dua rakaat tetapi setiap satu rakaat mengandungi 2 kali rukuk dan 2 kali iktidal manakala yang lainnya adalah sama seperti solat sunat biasa. Kata Syeikh, boleh juga dikerjakan solat sunat gerhana ini seperti solat sunat biasa iaitu 2 rakaat dengan satu rukuk di setiap rakaat. Pernah satu ketika, Nabi saw solat dalam tempoh yang sangat lama kerana terjadinya gerhana yang agak panjang. Disebabkan terlalu lama maka ada dikalangan sahabat yang pengsan. Nabi saw solat selari dengan tempoh gerhana. Dalam solat itu, Nabi saw membaca surah al-Baqarah untuk rakaat pertama. Selepas itu Nabi rukuk dan panjangnya tempoh rukuk itu adalah kurang sedikit dari surah al-Baqarah yang dibaca oleh Nabi saw tadi. Kemudian Nabi saw berdiri semula dan membaca surah al-Imran. Kemudian Nabi rukuk dan tempohnya kurang sedikit dari surah al-Imran yang dibaca tadi. Dalam rakaat kedua, Nabi saw membaca surah an-Nisa dan selepas rukuk pertama, Nabi saw membaca surah al-Maidah. Selepas selesai, khutbah pun dimulakan sama seperti solat sunat hari raya. Panjang atau pendeknya tempoh solat gerhana adalah bergantung kepada tempoh gerhana itu berlaku. Jika waktu gerhana itu singkat maka singkatlah solatnya.
Solat sunat minta hujan
Apabila hujan tidak turun dalam tempoh yang panjang sehingga kering tadahan air maka sunat bagi penguasa mengarahkan rakyat supaya berpuasa selama 3 hari, bersedekah, bertaubat dari maksiat dan pada hari yang keempat mengerjakan solat dalam keadaan berpuasa di tengah padang. Sunat dibawa orang-orang tua dan kanak-kanak ke tengah padang. Begitu juga dengan perempuan yang dalam keadaan haid dan binatang ternakan, elok dibawa bersama ke tengah padang. Kanak-kanak dan binatang ternakan tidak membuat maksiat oleh itu mereka tidak berdosa dan doa mereka lebih mudah terangkat. Kata Syeikh, jangan anggap binatang itu menumpang kita sebaliknya kita yang menumpang syafaat mereka kerana mereka tidak berbuat dosa. Pakailah dengan pakaian yang fakir dan daif kerana kita ini terlalu lemah disisi Allah (bahkan sunat memakai pakaian sebegini ketika berkumpul di tengah padang). Kata Syeikh, apabila solat dilakukan ditengah padang, dalam keadaan cuaca panas, maka doa akan menjadi lebih tajam. Setiap orang pasti akan memohon kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh. Cara mengerjakan solat ini adalah sama seperti solat hari raya dimana dalam rakaat pertama takbir diangkat sebanyak 7 kali manakala dalam rakaat kedua takbir diangkat sebanyak 5 kali. Selesai solat barulah khutbah dijalankan. Ada satu kisah tentang solat ini di zaman Khalifah Muawiyah. Pada satu hari, solat sunat minta hujan (istisqa) dikerjakan di zaman Muawiyah. Muawiyah meminta wali Allah, Abu Muslim al-Kharwani[2] membacakan doa. Belum pun habis doa dibaca, hujan turun mencurah-curah. Abu Muslim berasa tidak selesa kerana menganggap Muawiyah telah mendedahkan identitinya kepada masyarakat dimana doanya mudah makbul. Lalu dia memohon kepada Tuhan akan menutup segala hijabnya. Dua minggu selepas itu, wali Allah ini menemui kekasihnya, Allah swt.
Solat sunat jenazah
Solat jenazah dikerjakan secara berjemaah dan jangan kurang dari 40 orang. Sebenarnya doa lebih makbul jika jemaah lebih dari 40 orang. Dengan berkat bilangan jemaah yang ramai yang berdoa, mudah-mudahan Allah memberi syafaat kepada si mati. Kata Syeikh, jangan tangguhkan atau melambat-lambatkan pengebumian jenazah kerana jika si mati itu orang yang baik-baik maka si mati itu tidak sabar untuk dikebumi ibarat pengantin yang ingin bertemu dengan pasangannya etapi jika simati itu orang yang tidak baik maka jangan dilewatkan pengebumiannya krana dikhuatiri bala si mati akan menimpa pula pada semua yang hadir.
Solat sunat tahiyatul masjid
Solat ini sangat dituntut untuk dikerjakan walaupun ketika khutbah[3] sedang dibaca dihari Jumaat. Tetapi ketika masuk waktu khtbah dibawa, maka diniatkan terus qabliah Jumaat, dengan itu mudah-mudahan dapat dua pahala sekaligus iaitu pahala qabliah Jumaat dan tahiyatul masjid – ikut pendapat dalam mazhab Sya’fi’i. Solat ini sebenarnya sunat dikerjakan pada bila-bila masa setiap kali masuk kedalam masjid. Walaubagaimanapun, sekiranya kita masuk ke dalam masjid ketika pengajian sedang dijalankan maka lebih elok kita terus duduk dan mendengar pengajian. Solat tahiyatul masjid itu kemudiannya digantikan dengan bertasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
Solat sunat wudhuk
Sewaktu Nabi saw masuk kedalam syurga, Nabi saw terdengar bunyi tapak kasut Bilal. Lalu Nabi saw bertanya kepada Bilal, Apa amalan engkau, Bilal? Lalu jawab Bilal, Aku tidak mengamal sebarang amalan khusus setiap kali aku mengangkat wudhuk maka aku akan kerjakan solat sunat wudhuk dua rakaat. Kesimpulannya, mengerjakan solat sunat ini amat besar ganjarannya iaitu syurga disisi Allah swt.
Solat sunat Istikharah
Solat ini dilakukan apabila sesuatu perkara itu jelas baiknya (tujuannya). Tertib solat ini ialah dengan melakukan musyawarah terlebih dahulu sebelum mengerjakannya. Sebelum menunaikan solat, kosongkan hati dari perkara-perkara yang mendahului Allah swt dan minta betul-betul kepada Allah swt. Ramai orang silap apabila mereka menetapkan pilihan mereka terlebih dahulu kemudian memohon kepada Allah agar memperkenankan pilihan mereka itu. Sepatutnya mereka hendaklah menyerahkan kepada Allah untuk memilihnya bukan menetapkan pilihan terlebih dahulu. Selepas berdoa, apa sahaja yang termaktub yakni yang terlintas di hati kita buat pertama kali maka itulah jalan yang perlu kita pilih.
Solat sunat hajat
Hajat yang diminta hendaklah yang baik-baik bukannya maksiat. Hajat yang pertama ialah supaya Allah swt berselawat keatas Junjungan besar Rasulullah saw dan keluarganya kemudian barulah selepas itu kita meminta hajat kita. Ayat yang dibaca dalam solat hajat ialah ayatul kursi. Kenapa ayatul kursi ini dipilih dalam solat hajat? Ini adalah kerana ayatul kursi adalah ayat yang paling hebat. Didalamnya mengandungi 10 tempat berhenti. Setiap hentian itu jika dibaca dengan betul akan meresap dalam diri si pembaca. Rahsia yang sangat ditakuti jin ialah pada hentian yang maksudnya “Dan sedikit pun tidak membeban bagi Allah untuk menguruskan 7 petala langit dan 7 petala bumi.”
Kata syeikh, ada tiga kategori solat sunat atas sebab iaitu
1. Sebab yang terdahulu. Contoh solat yang perlu dikerjakan tanpa bertangguh ialah solat qadha kepada yang fardhu dan solat jenazah (boleh dilakukan pada waktu yang ditegah).
2. Sebab yang bersamaan. Contoh solat ialah sunat tahiyatul masjid. Boleh dilakukan bila-bila masa walaupun dalam waktu yang ditegah asalkan melangkah masuk kedalam masjid.
3. Sebab yang terkemudian. Contoh solat ialah solat musafir dan solat sunat umrah. Solat musafir dilakukan bila bermusafir manakala solat sunat umrah dilakukan ketika umrah sahaja.


[1] Nabi saw bimbang jika solat tarawih difardukan keatas umatnya tetapi setelah Nabi saw wafat ternyata solat tarawih tidak diwajibkan keatas umatnya.
[2] Hidup pada zaman Nabi tetapi tidak pernah bertemu Nabi saw. Martabatnya dibawah sahabat tetapi lebih tinggi dari tabi’in.
[3] Kata Syeikh, pernah berlaku makmum menegur khatib yang membaca khutbah. Perbuatan makmum menegur khatib tidaklah membatalkan Jumaatnya kerana yang membatalkan Jumaat adalah apabila makmum bercakap sesama makmum.

No comments:

Post a Comment