Sunday, August 16, 2009

Syarahan Khas Syeikh Nuruddin sempena menyambut kedatangan Ramadhan di Masjid Negara

*Catatan bebas ana pada 15 Ogos 2009
Semua hari-hari dan acara-acara penting mempunyai persediaan yang tersendiri. Kita membuat persediaan yang rapi untuk bersolat Jumaat walaupun solat itu hanya berlangsung antara 30 hingga 40 minit sahaja. Dihari Jumaat kita membuat tidak kurang 40 amalan kebaikan seperti mandi Jumaat, mengerat kuku, memakai bau-bauan, memakai baju putih, pergi awal ke masjid, membaca al-Quran dan banyak lagi. Begitu juga dengan mengerjakan ibadah haji. Walaupun ibadah tersebut hanya berlangsung sekitar 6 hari tetapi persediannya mungkin bertahun-tahun. Untuk pergi ke Makkah, seseorang itu perlu menabung bertahun-tahun lamanya, kemudian menjalani kursus. Itu belum lagi dengan persediaan ketika mengerjakan haji. Bermacam-macam persediaan perlu dilakukan bagi mencapai haji yang sempurna yang berkualiti dari sisi pandang Islam. Untuk menyambut hari kemerdekaan pun begitu juga. Walaupun ia hanya berlangsung sehari tetapi persediaannya berbulan-bulan. Pelbagai protokol, jemputan dan latihan diadakan bagi menyambut hari tersebut. Padahal kemerdekaan itu hanyalah sebagai satu simbol atau lambang yang tidak lebih dari melahirkan perasaan kebebasan dan belenggu cengkaman penjajah. Sedangkan kemerdekaan yang sebenarnya bagi umat Islam ialah membebaskan diri dari dosa dan neraka dan seterusnya mendapat rahmat dari Allah Taala. Lalu begitu jugalah dalam persiapan kita menyambut Ramadhan. Kita perlu bertanya kepada diri kita apakah persediaan kita dalam mengharungi bulan Ramdhan yang tempohnya selama 1 bulan itu? Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas pastinya akan mendapat ganjaran yang tidak terhitung dari Allah swt. Sebab itulah disebut bahawa 10 hari yang pertama dalam bulan Ramadhan menandakan curahan rahmat Allah swt, 10 hari berikutnya dalam bulan Ramadhan menandakan maghfirah (keampunan) dari Allah swt dan 10 hari terakhir menandakan pembebasan diri kita dari api neraka. Berpuasa mengajar kita erti sabar. Dengan berpuasa kita perlu menahan diri bukan sahaja dari makan dan minum tetapi juga pandangan, penglihatan dan hati kita. Seharusnya kita menjauhkan diri dari perkara-perkara makruh dan syubhah kerana boleh mengurangkan pahala puasa. Janganlah kita mencemarkan kemuliaan bulan Ramadhan dengan membuat perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Sepatutnya puasa itu hendaklah diiringi dengan ibadah lain yang berkualiti khususnya membaca al-Quran. Syeikh memetik sabda Nabi saw yang lebih kurang maksudnya, Sesungguhnya al-Quran dan puasa itu akan memberi syafaat pada hari Kiamat kelak. Al-Quran menyatakan, Ku halang dia dari dibakar api neraka kerana dia membacaku setiap malam. Al-Quran juga menjadi peguam kita dihari akhirat kelak. Orang yang membasahkan lidahnya dengan bacaan al-Quran pasti akan dapat meminum air dari telaga Kautsar. Beruntunglah bagi orang-orang yang berjaya meminum air dari telaga Kautsar. Cawannya sahaja umpama bintang-bintang dilangit. Airnya lebih manis dari madu, lebih putih dari susu. Sesiapa yang meminumnya tidak akan dahaga buat selamanya.
Berbalik kepada cerita mencemar kemuliaan bulan Ramadhan tadi, golongan ini sebenarnya adalah syaitan-syaitan dari kalangan manusia. Mereka ini membiarkan bau-bau masakan menusuk ke rongga manusia, mencabar manusia dalam mengerjakan ibadah puasa. Mereka merosakkan ketenangan dan kekhusyukan orang yang sedang berpuasa. Begitu jugalah dengan kelompok syaitan-syaitan manusia yang membiarkan maksiat berleluasa di bulan puasa. Aktiviti maksiat diteruskan seakan-akan mencabar orang-orang yang sedang berpuasa. Sebab itulah puasa ini bukanlah suatu ibadah yang mudah untuk dilaksanakan. Maka tidak hairanlah apabila puasa ini juga akan memberi syafaat kepada orang yang berpuasa di akhirat kelak.
Dalam 10 hari terakhir, Nabi saw beriktikaf di masjid. Bahkan isteri-isteri baginda saw turut serta beriktikaf dimasjid. Selepas menguatkan ikatan di pinggangnya, Nabi saw akan beriktikaf dimasjid. Dalam hal ini, Syeikh teringat pengalamannya ketika berada di Mesir. Kata Syeikh, pemuda Mesir sangat gigih mengerjakan ibadah pada 10 malam terakhir lebih-lebih lagi pada malam 27. Pemuda Mesir ini dari segi kehidupannya samalah seperti pemuda bangsa lain. Mereka juga berhibur, bersantai dan sebagainya tetapi apabila masuk bulan Ramadhan, khususnya pada 10 malam terakhir, mereka akan meninggalkan semua bentuk hiburan. Masjid melimpah-ruah sehingga berbatu-batu jauhnya. Yang tidak pernah menangis dan merintih akan menangis dan merintih di waktu itu. Selain Mesir, suasana di Makkah dan Madinah juga begitu. Umat Islam disana tidak putus-putus mengerjakan ibadah dalam bulan puasa. Semuanya berlumba-lumba membuat kebajikan bermula dari waktu berbuka hingga ke sebelah malamnya.

Catatan ketika sesi soal jawab antara hadirin dengan Tuan Syeikh
1. Nuzul Quran jatuh pada 17 Ramadhan. Nuzul Quran merujuk kepada peristiwa mulanya penurunan al-Quran secara beransur-ansur. Lailatul Qadar pula merujuk kepada hari dimana al-Quran telah sempurna atau lengkap diturunkan.
2. Ubat-ubatan yang dimasukkan ke dalam badan menerusi suntikan tidaklah membatalkan puasa kerana ubat ini masuk menerusi liang roma. Ubat-ubatan yang dimasukkan melalui rongga badan yang bukan atas tujuan kesihatan maka puasanya adalah terbatal.
3. Tidak batal puasa bagi seorang yang mandi di kolam dari pagi sampai ke petang asalkan tidak masuk air ke dalam rongga. Air yang meresap kedalam liang roma tidak membatalkan puasa.
4. Helah yang digunakan untuk mengelakkan kafarah di bulan puasa hukumnya adalah haram. Sebagai contoh, seseorang berbuka puasa terlebih dahulu sebelum melakukan jimak dengan tujuan hendak mengelakkan kafarah. Dalam hal ini, mazhab Imam Maliki berpendapat bahawa selain haram, orang yang melakukannya tetap juga akan kena kafarah.

No comments:

Post a Comment