Wednesday, August 5, 2009

Syarah Khas Malam Nisfu Sya'aban - Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

* Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang pada 5 Ogos 2009

Allah memandang hambanya dengan pandangan rahmat sebaik masuknya (terbenamnya) matahari pada malam Nisfu Sya’aban. Sebaik sahaja terbenam matahari, kita amatlah digalakkan mengerjakan ibadah sebanyak mungkin sebagaimana Rasulullah saw yang mengerjakan ibadah dengan sujud dan bermohon kepada Allah swt pada malam yang penuh barokah itu. Salah satu yang dianjurkan seperti yang disebut oleh ramai ulama ialah mengerjakan solat sunat. Yang paling digalakkan ialah menunaikan solat sunat secara berjemaah. Tentang solat sunat berjemaah ini, ia bukanlah suatu yang bidaah kerana para sahabat pernah mengerjakan solat sunat secara berjemaah dengan Rasulullah saw. Sahabat besar, Abdullah bin Mas’ud pernah menunaikan solat tahajjud bersama-sama dengan Rasulullah saw. Begitu juga dengan sahabat besar yang lain seperti Huzaifah bin Yaman dan Abdullah bin Abbas. Maka pada malam yang berbahagia ini, kita mengambil kesempatan yang ada pada malam ini dengan mengerjakan solat sunat tasbih secara berjemaah. Solat sunat tasbih ini elok dilakukan secara berjemaah kerana ia lebih mudah dikerjakan khususnya dari segi kiraan tasbih dan semangat untuk melakukannya. Jika mengerjakannya secara berseorangan, ada kemungkinan kita akan terlupa kiraan ataupun semangat mula menurun disebabkan tempohnya yang panjang. Besar fadhilatnya mengerjakan solat sunat tasbih ini kerana dengan bertasbih bermakna kita menyucikan Allah swt dari menyerupakan Allah dengan sebarang sesuatu yang ada di langit dan di bumi. Berhimpun pada malam Nisfu Sya’aban dengan mengerjakan ibadah bukanlah satu perkara bidaah bahkan digalakkan kerana pelbagai ibadah dapat dilakukan bersama. Misalnya seperti malam ini, kita dapat mengerjakan solat sunat tasbih bersama-sama yang bukanlah mudah hendak dikerjakan secara berseorangan, kita membaca yasin, berdoa bahkan turut mengadakan majlis ilmu. Jadi dimana letaknya persoalan bidaah ini? Golongan yang menyatakan bidaah ini agaknya terlupa bahawa apabila berhimpun umat Islam dalam satu majlis, ada kemungkinan para wali Allah turut menyertai bersama. Apabila para wali Allah ini berdoa bersama-sama besar kemungkinan doa para wali ini diperkenankan Tuhan, maka kita yang berhimpun sama akan mendapat manfaat keberkatan dari doa para wali ini. Kita tidak akan dapat mengetahui siapakah wali-wali yang berhimpun bersama dengan kita pada malam ini kerana Allah menyembunyikan wali-wali-Nya sama seperti Allah swt menyembunyikan malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Berhimpunnya kita pada malam ini juga adalah untuk menyambungkan rantaian hubungan kita dengan para-para wali Allah sehinggalah ke Junjungan besar Rasulullah saw. Caranya ialah dengan menghubungkan diri kita dengan para-para wali ini menerusi periwayatan sanad-sanad hadith yang selanjutnya bersambung ke Rasulullah saw. Dengan menghubungkan diri kita kepada para wali dan baginda Rasulullah saw, perasaan kasih kita kepada para wali dan Rasulullah saw menjadi semakin mendalam dan terasda lebih dekat. Wali-wali Allah ini adalah ibarat ayah dalam rantaian sanad. Tanpa ayah, maka terputuslah ilmu dari nur nabawiyyah yakni nur Rasulullah saw. Terputus nur nabawiyyah bermakna gelaplah ruh kita. Jadi tujuan kita berhimpun malam ini adalah untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada para wali Allah yang seterusnya menghubungkan kepada Junjungan Besar Rasulullah saw. Kata Syeikh, sebenarnya ruh-ruh yang baik telah pun berhimpun dan berkasih-sayang ketika di alam ruh lagi. Setelah ruh itu dimasukkan kedalam jasad maka ruh-ruh ini kemudiannya berhimpun pula dibumi dan Insyallah ruh-ruh ini akan terus berhimpun bersama-sama dengan Kekasih Allah ketika di alam mahsyar kelak. Jadi perhimpunan kita pada malam ini adalah untuk berkasih-sayang antara satu sama lain atas nama Islam yang mulia yang telah diajar oleh Rasulullah saw menerusi rantaiannya kepada para sahabat lalu disampaikan kepada tabi’in kemudiannya ke tabi’in tabi’in dan seterusnya sehinggalah sampai kepada kita seperti hari ini. Mudah-mudahan kita juga akan turut berhimpun dengan Rasulullah dan para wali Allah yang lain di alam mahsyar serta beroleh syafaat dari mereka ketika di hari pengadilan kelak. Umat Islam pada hari ini amat sukar atau mungkin tidak berupaya menandingi amalan-amalan yang dilakukan oleh para sahabat dan wali-wali Allah zaman dahulu. Imam Syafie misalnya mengkhatam Al-Quran 2 kali sehari dalam bulan Ramadhan. Imam Ahmad Hanbal mengerjakan solat sebanyak 300 rakaat. Imam Ali Zainal Abidin mengerjakan solat sebanyak 1000 rakaat. Saiyidina Ali mengkhatam Al-Quran 8 kali sehari semalam manakala Imam Abu Hanifah mengkhatam Al-Quran beribu kali walaupun berada ditempat perbaringan kerana sakit sehinggalah beliau wafat. Kita tidak mungkin dapat mengerjakan ibadah seperti mereka kerana mereka ini luar biasa peribadinya bahkan ditunjukkan karomah mereka yakni kemuliaan atas diri mereka. Tetapi Allah memberi jawapan kepada kita iaitu dengan cara menunjukkan kasih-sayang kita kepada wali-wali Allah ini. Dengan menunjukkan kasih-sayang kita kepada mereka maka mudah-mudahan kita akan berhimpun bersama-sama mereka di alam mahsyar. Itulah pentingnya kita menghubungkan diri kita dengan wali-wali Allah ini dalam rantaian sanad hadith, mudah-mudahan kita akan berhimpun bersama mereka di alam mahsyar kelak bersama-sama dengan Kekasih Allah Rasulullah saw. Sebab itulah jika ada orang yang tahu betapa bernilainya majlis yang melibatkan periwayatan sanad hadith ini maka nescaya sudah tentu banyak orang datang ke majlis sebegini dari serata tempat walau pun dalam keadaan merangkak. (rujuk disini untuk melihat rantaian sanad hadith dan matan hadith. Syeikh mentalqinkan hadith kalimah La Ilaha Illallah yang ditalqinkan oleh gurunya As-Saiyid Muhammad bin Alawi al-Maliki)
Dalam rantaian sanad yang ditalqinkan pada malam ini, banyak nama wali Allah terkandung didalamnya. Antaranya,
Abul Abbas Al-Mursi – tengkuknya bercahaya apabila beliau mengangkat takbir ketika solat, dadanya bercahaya bila beliau membaca surah al-Fatihah dan pelbagai lagi karomah beliau yang tidak dapat disebut satu-persatu disini.
Abu Madyan – berjaya mendidik 1000 orang sehingga kesemua penuntutnya itu menjadi wali Allah.
Abu Bakar Syibli – beliau berzikir sehingga terhantuk kepalanya lalu berdarah. Dari percikan darahnya itu terhasil kalimah Allah.
Daud at-Tha’i – anak murid Imam Abu Hanifah. Beliau dibenarkan mengeluarkan fatwa oleh gurunya. Beliau bermujahadah dalam usaha mencapai keredhaan Allah sehinggakan dalam keadaan mengunyah pun beliau masih berzikir dengan menyebut sekurang-kurangnya 50 kali kalimah zikir.
Zikir adalah satu perkara yang sangat penting untuk diamalkan terutamanya dari segi pembersihan jiwa dan rohani. Bahkan zikir juga sangat penting untuk menolak bala. Disebut bahawa kiamat tidak akan berlaku selagi ada ahli-ahli zikir yang sentiasa dilidahnya menyebut kalimah-kalimah suci membesarkan Allah swt di muka bumi ini. Bahkan kata ulama, satu majlis zikir mampu untuk melenyapkan 70 tempat maksiat disatu-satu tempat. Maksudnya, Allah tidak akan menurunkan bala ke atas sesuatu tempat jika ditempat itu diadakan majlis zikir.

No comments:

Post a Comment