Sunday, August 16, 2009

Syarah khas Ramadhan dengan merujuk kitab Sairus Salikin - Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam di Desa Vista

*Catatan bebas ana pada 16 Ogos 2009
Orang yang beriman tertunggu-tunggu, rindu akan kedatangan Ramadhan untuk mengerjakan ibadah puasa. Puasa tidak dianggap bebanan sebaliknya satu anugerah. Sabda Nabi saw, Andainya orang tahu ganjaran bulan Ramadhan maka sudah tentu semua orang mengharapkan agar semua bulan adalah bulan Ramadhan. Sebab apa? Sebab ganjaran dalam bulan Ramadhan terlalu banyak, berlipat kali ganda. Sabda Nabi saw, Barangsiapa bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan maka Allah swt mengharamkan jasadnya dari api neraka.[1] Kata Syeikh, mengerjakan ibadah puasa bukanlah satu kerja senang. Bukan senang hendak mengikhlaskan diri mengharungi bulan puasa yang tempohnya selama sebulan tanpa makan dan minum dan menahan diri dari perkara-perkara lain yang boleh merosakkan amalan puasa. Sebab itulah orang beria-ria menyambut kedatangan raya bagi meraikan kejayaan berpuasa selama sebulan. Walaubagaimanapun, apakah erti raya yang sebenarnya bagi umat Islam? Syeikh memetik pepatah Arab yang berbunyi, bukanlah hari raya bagi yang memakai baju baru tetapi raya itu ialah apabila takwa kita semakin bertambah dan bukanlah hari raya bagi orang yang ada rumah baru tetapi raya yang sebenar itu ialah apabila Allah mengampunkan segala dosa kita.
Puasa adalah pintu ibadat. Dalam bulan puasa, semua orang berlumba-lumba melakukan ibadat. Ada orang yang tak pernah bersedekah tetapi bila masuk bulan puasa ia mula bersedekah. Ada orang yang tak pernah bersolat tetapi sebaik masuk bulan puasa ia mula bersolat. Ada orang yang tak pernah mengaji tetapi bila masuk sahaja bulan puasa mulalah ia berkeinginan hendak mengaji. Itulah sebabnya bulan puasa itu dikatakan pintu ibadat kerana ia merangsang orang untuk berbuat atau menambah ibadah. Dalam bulan puasa, siang dan malam sentiasa hidup dengan ibadah. Di Mesir, adat orang disana ialah dengan menyalakan lampu-lampu bagi menghidupkan suasana malam. Tujuannya ialah untuk memudahkan orang ramai melakukan ibadah. Kata Syeikh, cara terbaik untuk menyambut Ramadhan ialah dengan menghiasi ibadah disebelah malamnya manakala cara terbaik untuk menyambur raya ialah dengan menghiasi diri dengan bertakbir memuji kebesaran Allah swt.
Adapun tentang niat berpuasa, kata Syeikh jika mengikut Imam Asy-Syafi’I, niat perlu dilakukan setiap malam. Walaubagaimanapun untuk malam pertama, niatlah untuk sebulan kerana jika terlupa untuk berniat sekurang-kurangnya niat untuk sebulan telah dilakukan. Mazhab Maliki berpegang kepada pendapat yang membenarkan niat sebulan ini. Adapun yang bermazhab Syafi’i jika terlupa untuk berniat disebelah malamnya bolehlah berpegang dengan pendapat Imam Malik ini[2].
Tentang berbuka puasa, seeloknya berbukalah dengan rutab. Susunan berbuka yang paling afdal ialah rutab diikuti dengan kurma dan kemudiannya air. Adab meminum air ialah dengan tiga kali teguk. Setiap teguk itu hendaklah dijarakkan gelas sebelum meneguk untuk yang berikutnya.

[1] Hadith ini tarafnya dhaif
[2] Maksudnya memakai niat selama sebulan (dengan syarat telah berniat untuk sebulan di malam pertama Ramadhan)

No comments:

Post a Comment