Kalau kita tidak dapat bersahabat dengan batang tubuh Nabi saw maka bersahabatlah dengan hadith Nabi saw. Ini adalah kerana jika kita hendak mendapatkan syafaat Nabi saw maka hendaklah kita melazimkan diri kita dengan hadith baginda saw. Kata Yahya bin Ma'in ra, "Isnadnya yang tinggi ialah yang mendekatkan seseorang dengan Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. Untuk mengetahui samada hubungan kita dekat atau tidak dengan baginda saw maka kita hendaklah melihat kepada sanadnya. Sebagai contoh, antara 20 sanad dengan 15 sanad maka yang 15 sanad itu adalah lebih kuat kerana rantaian perawinya lebih pendek manakala 20 sanad tadi lebih rendah martabatnya. Yang 15 sanad itu disebut sanad 'ali manakala yang 20 sanad itu disebut sanad nazil. Tentang Yahya bin Ma'in ra tadi, beliau merupakan guru kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Bukhari dimana kedua-duanya adalah tokoh besar hadith dalam Islam. Diriwayatkan bahawa Yahya bin Ma'in menulis sejuta hadith dengan jarinya. Kata ulama, Yahya bim Ma'in ra ini sangat alim dalam ilmu hadith sehingga beliau diiktiraf sebagai pakar hadith yang ulung. Jika beliau berkata bahawa beliau tidak pernah mendengar sesuatu hadith maka ayat yang dikatakan hadith itu boleh ditolak.
Sunat bagi kita bermusafir untuk meriwayat hadith yang diketahui sanadnya lebih pendek. Sebagai contoh, jika ada terdengar bahawa satu hadith yang sama maksudnya mempunyai rantaian perawi yang lebih pendek maka adalah sunat untuk kita mendapatkannya lalu meriwayatkan hadith itu dalam usaha untuk mendekatkan hubungan kita dengan Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. Keistimewaan umat Nabi Muhammad saw ialah hadith yang diriwayatkan secara bersanad. Dengan adanya sanad maka hadith yang diriwayat itu akan disaring dan ini menjadikan sesuatu hadith itu lebih diyakini kerana hadith tersebut diriwayat oleh orang-orang yang benar dan amanah. Sebagai contoh, Imam Bukhari ra sanggup berjalan kira-kira 1000 km untuk mengambil hadith tetapi pulang semula setelah mendapati periwayat yang dimaksudkan itu tidak bercakap benar. Diriwayatkan bahawa periwayat itu bercakap dusta dengan ayam yang dipeliharanya. Kata Imam Bukhari, kalau ayam pun didustainya maka apatah lagi manusia. Imam Bukhari tidak mengambil hadith dari si periwayat tadi kerana tidak yakin dengan si periwayat tersebut. Sikap berhati-hati dan penuh teliti Imam Bukhari ini adalah merupakan tradisi ulama dalam ilmu hadith bagi memastikan maksud hadith terpelihara. Kita perlu sedar bahawa kita mempunyai dua bapa. Pertama ialah bapa jasad yakni bapa kita dan yang kedua ialah bapa roh. Bapa roh ini ialah syeikh-syeikh hadith yang namanya tercatat dalam rantaian sanad. Bapa roh inilah yang menghubungkan kita secara khusus dengan Allah Ta'ala.
No comments:
Post a Comment